Menjaga keamanan negara haruslah melangkaui kepentingan dan pilihan sendiri. Maka ia menjadi tanggungjawab pengundi dan penyokong parti politik untuk tidak beremosi dan mudah terpengaruh dengan provokasi.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berpesan kepada pengundi-pengundi, petugas pilihan raya dan penyokong parti politik agar mengawal diri sepanjang proses pemilihan pada hari esok supaya tiada kekacauan berlaku.

Abdul Rahman turut berpesan bahawa pilihan raya juga mempunyai adab dan tertib yang harus diikuti supaya ketenteraman negara dapat dijamin.

“Pilihan raya ini apabila diadakan, ada persatuan dan sistemnya. Sebagai pengundi dan yang bertugas, kita harus menghormati sistem ini dan apabila kita menghormatinya kita tidak akan menyusahkan orang lain.

“Contohnya, hormatilah undang-undang pilihan raya yang melarang parti politik untuk berkempen selepas pukul 12 tengah malam.

"Jika peraturan itu dilanggar, kemungkinan besar boleh berlaku provokasi dan tidak menyenangkan orang lain. Akhirnya berlaku perbalahan sesama pengundi.

“Buat orang Islam, inilah masanya untuk menunjukkan kesopanan sebagai orang Islam dan orang Melayu. Buat yang bukan Islam juga saya percaya bahawa mereka juga boleh berminda sivil dan menghormati undang-undang demi menjaga keharmonian negara,” katanya.

Dari segi memilih pemimpin, Abdul Rahman juga menggesa umat Islam agar memilih pemimpin yang tidak memesongkan akidah dan boleh menjaga ketenteraman masyarakat di Pahang.

Jelasnya, umat Islam tidak boleh bersekongkol dengan pihak-pihak yang terang-terang mempunyai niat untuk memecahbelahkan masyarakat dan memesong akidah Islam.

“Kita harus ingat bahawa Malaysia merupakan negara Islam. Pemimpin yang membawa isu sekular dan liberalisme tanga sempadan hards ditentang kerana mereka ini akan mewujudkan konflik dalam kalangan masyarakat,” katanya sewaktu ditemui di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.

Mengenai fitnah atau berita palsu yang berleluasa sepanjang tempoh pilihan raya, Abdul Rahman berkata di dalam al-Quran menyebut bahawa memfitnah itu lebih buruk daripada membunuh.

“Islam melarang penipuan apatah lagi memfitnah. Orang Islam harus ingat bahawa setiap perbuatan itu adalah peluang untuk berdakwah. Jadi jangan rosakkan imej dan pegangan Islam dengan menjadi pembuat dan penyebar fitnah.

“Bagaimana kita mahu selamat dari fitnah? Pertama, periksa dahulu sumber berita yang diterima jika ia merupakan palsu atau benar. Jangan ambil tindakan drastik dan beremosi sehingga boleh berlaku perbalahan antara satu sama lain.

“Kita harus berfikir jangka masa panjang dan jangan hanya melihat kepada diri sendiri sahaja,” pesannya.

Pada 9 Mei, lebih 802,482 pengundi di Pahang akan menjalankan tanggungjawab di lebih 522 lokasi membuang undi di seluruh negeri.

Pahang mempunyai 14 kerusi parlimen dan 42 kerusi dewan undangan negeri.