KUALA LUMPUR: Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menyeru pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk berhenti berperangai seperti Abu Lahab dan menjual nama Islam dan perpaduan Melayu.

Menurutnya, tiada guna jika melakukan umrah setiap tahun di bulan Ramadan dan mengajar agama di setiap hari Jumaat kalau berperangai seperti Abdullah Bin Ubai dan Abu Lahab.

"Cukuplah dengan perpecahan Melayu sekarang di atas perbuatan mereka. Bertaubatlah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) telah pun diduga sejak awal walaupun pelbagai tohmahan negatif dilemparkan kepada parti itu, rakyat masih tetap memilih PH.

"Di sebalik berbagai dakyah dan tohmahan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang dan desperado UMNO seperti Nuwar (Annuar) Musa dan Noh Omar yang cuba menjual ikan busuk dalam kempen mereka, pengundi KKB tetap memilih PH," katanya.

Tambahnya lagi, 'kuda-kuda tua' UMNO seperti yang disifatkan oleh sesetengah penulis, terbukti larinya kencang dan tetap berbisa.

Beliau juga berpendapat bahawa kuda-kuda tua itu telah menjadi penyumbang kepada kemenangan calon PH dalam PRK tersebut.

Katanya lagi, ini jelas membuktikan bahawa rakyat KKB dan Selangor amnya menolak politik fitnah dan benci-membenci seperti yang dibawa oleh pembangkang yaitu PN dan rakyat kini lebih memilih pendekatan politik 'kasih sayang dan beradab' seperti yang dibawa oleh UMNO.

"Rakyat telah bosan dengan pembohongan dan penipuan serta kemunafikan pemimpin pembangkang khususnya Pas yang menjadikan Islam sebagai kuda tunggangan (bukan kuda tua) dan Bersatu yang menunggang Melayu di dalam usaha untuk meraih sokongan rakyat kepada mereka," ujarnya lagi.

Pada Sabtu, PH menerusi calon mereka, Pang Sock Tao memenangi PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan gabungan itu berjaya mempertahakan kerusi berkenaan yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.

Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi dan memperolehi 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.

Sementara itu, pencabar utama Sock Tao daripada Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.

Dua lagi calon iaitu Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas) masing-masing memperoleh 152 dan 188 undi.