Skip to main content

Politik

'Jangan keluar kerajaan' - Perwakilan mahu DAP bersuara

PUTRAJAYA, 16 Ogos -- Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo (tengah) hadir pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Dalam ucapan perbahasan, perwakilan DAP turut menuntut perubahan pendekatan dalam pelaksanaan dasar dan politik bagi agar rakyat kembali yakin kepada Kerajaan Perpaduan. - Gambar/ Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Perwakilan DAP yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul hala tuju parti menyatakan pendirian untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Namun dalam ucapan perbahasan, mereka turut menuntut perubahan pendekatan dalam pelaksanaan dasar dan politik bagi agar rakyat kembali yakin kepada Kerajaan Perpaduan.

Mesej utama yang dibawa ialah DAP tidak seharusnya meninggalkan kerajaan susulan kemerosotan sokongan dalam beberapa pilihan raya, sebaliknya menggunakan baki penggal untuk memperkukuh pelaksanaan reformasi, menyelesaikan isu rakyat dan kembali lebih lantang bersuara.

Perwakilan Selangor, Muhammad Shakir Ameer Mohideen berkata, DAP masih mempunyai masa untuk membuktikan keupayaannya dalam kerajaan walaupun parti itu berdepan beberapa kekalahan pilihan raya kebelakangan ini.

Menurutnya, prestasi pentadbiran yang baik sahaja tidak lagi mencukupi untuk memenangi keyakinan pengundi sekiranya parti gagal mengurus naratif politik dan memahami perubahan demografi serta sentimen rakyat.

“Kita masih berada dalam kerajaan. Kita masih mempunyai masa. Kita masih boleh memberikan hasil.

“Pentadbiran yang baik sahaja tidak lagi mencukupi untuk memenangi pilihan raya,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan pada Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Beliau turut menegaskan masalah yang dihadapi parti komponen Pakatan Harapan (PH) perlu dilihat secara bersama kerana semuanya bertanding di bawah jenama gabungan sama.

Perwakilan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen pula berkata kestabilan politik yang diwujudkan Kerajaan Perpaduan membolehkan pelbagai projek pembangunan utama diteruskan, termasuk di Pulau Pinang.

Katanya, DAP tidak mempunyai alasan untuk meninggalkan kerajaan ketika menteri dan timbalan menterinya masih melaksanakan tanggungjawab serta tidak terpalit isu rasuah.

“Menteri kita, timbalan menteri kita adalah antara menteri dan timbalan menteri yang menunjukkan prestasi terbaik.

“Musuh kita bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dan seharusnya kita tidak perlu menghukum Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun kerajaan Persekutuan kita dengan keluar daripada kerajaan,” kata Daniel.

Nada sama dibawa perwakilan Sabah, Philip Yap Wui Lip, yang menyokong DAP kekal dalam kerajaan tetapi memberi amaran parti perlu berubah selepas tewas 8-0 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut Philip kekalahan itu perlu dilihat sebagai isyarat bahawa rakyat Sabah mahu kerajaan Persekutuan lebih serius menangani isu hak negeri, termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Philip turut membangkitkan rungutan rakyat terhadap beberapa dasar Persekutuan termasuk pelaksanaan BUDI Diesel, kos sara hidup, SST dan e-Invois.

“Kekal tetapi kita harus berubah. Kekal tetapi kita harus bersuara. Kekal, kita mesti menyampaikan hak, hasil dan melaksanakan reformasi kita.

“Apabila Sabah bersuara, Putrajaya harus dengar,” kata Philip.

Sementara itu, perwakilan Kelantan, Azaha Abdul Rani berkata kedudukan dalam kerajaan penting bagi membolehkan DAP memperkukuh akar umbi selain membuktikan ideologi serta keupayaan pentadbiran kepada rakyat.

Beliau turut menggesa parti terus membawa pendekatan politik berteraskan identiti kebangsaan dan bukannya kaum.

“Saya mohon kepada perwakilan yang bijaksana menyokong supaya kita kekal di dalam kerajaan dan juga Kerajaan Perpaduan,” kata Azaha.

Keputusan berhubung kedudukan DAP sama ada kekal berperanan dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal atau sebaliknya bakal diputuskan selepas proses pengundian melibatkan lebih 4,000 perwakilan, yang bermula kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan layak menghadiri persidangan kali ini dan mengambil bahagian dalam proses pengundian.

Must Watch Video

Advertisement