Pengundi di Kuala Kangsar diminta tidak menghiraukan isu bermusim dan sengaja dimainkan pembangkang menjelang hari pengundian pada 18 Jun ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pengundi perlu sentiasa rasional dan tidak mempercayai isu yang dibawa pembangkang pada hari-hari akhir kempen.

Katanya, pengundi juga diminta menepis serangan politik pecah belah yang diamalkan pembangkang selama ini.

"Kelebihan kita adalah bantuan PDM negeri tertentu dan bahagian. Cuma jangan ambil mudah ada empat hari lagi.

"Kita sentiasa ingatkan jentera untuk pastikan jangan layan isu yang bermusim dan disengajakan supaya pengundi sentiasa rasional," katanya semasa sidang media selepas membuat lawatan, taklimat dan menyampaikan sumbangan kasih Ramadan di PDM Menora di sini hari ini.

Dalam pada itu Hishammuddin yakin pengundi Kuala Kangsar dapat menilai dan yakin dengan calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid untuk menjadi wakil rakyat.

"Kerana itu saya hendak jentera diperkukuhkan, selaraskan semua, bergerak secara fokus. Saya mahu semasa undi nanti semuanya memberi sokongan kepada BN," jelasnya.

Katanya lagi isu yang dibawa pembangkang sudah boleh ditepis selain diyakini tidak mempengaruhi pengundi sejak sekian lama.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah sebelum ini memberitahu, pembangkang masih berterusan memanipulasikan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan bertujuan menyemai kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Ahmad Husni berkata sejak dilaksanakan 1 April tahun lepas, pelbagai isu dibangkitkan pembangkang berkaitan GST termasuk dakwaan kononnya cukai itu akan dinaikkan lagi.

Sebelum ini, pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Kamil Shafei berkata, tindakan beberapa pihak yang mencetuskan kontroversi dan memainkan isu-isu sensitif ternyata mencemarkan suasana PRK Kuala Kangsar.