Jangan manipulasi kehadiran saya pada Persidangan Tahunan DAP - Ahmad Zahid

Abd Razak Mohd Ali
September 10, 2023 09:02 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kanan) ketika hadir pada majlis perasmian penutup program Malaysia Next Leaders Bagan Datuk 2023 di Dewan Dato Lope Hashim Bagan Datuk hari ini. - Foto Bernama
BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap kehadiran beliau pada Persidangan Tahunan DAP 2023 hari ini tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.
Jelasnya, kehadiran beliau pada persidangan itu adalah sebagai menyantuni jemputan selepas kepimpinan DAP turut hadir pada Perhimpunan Agung UMNO, Jun lalu.
Tambahan pula, katanya, kedua-dua parti kini berada di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Sambutan tadi dengan tepukan bergemuruh secara ikhlas mengejutkan saya.
“Saya harap tidak ada interpretasi pelbagailah sebab dulu sembilan bulan yang lalu kita jadi seteru politik tetapi hakikatnya di dalam Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim landskap politik telah berubah.
“Kita menghormati antara satu sama lain terutamanya dari prinsip-prinsip yang telah dinyatakan oleh kepimpinan DAP perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan itu dihormati dan itulah komitmen yang mereka perlihatkan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Perasmian Penutupan Program Malaysia Next Leaders Bagan Datuk 2023 anjuran Akademi Kepimpinan dan Pendidikan Malaysia di Dewan Datuk Lope Hashim pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Faisalludin Mohamat Yusuff.
Ahmad Zahid cipta sejarah, hadir Persidangan Tahunan DAP
Terdahulu, media melaporkan Persidangan Tahunan DAP 2023 melakar sejarah apabila Ahmad Zahid Hamidi menghadiri persidangan itu buat kali pertama.
Ia merupakan persidangan pertama parti itu sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu dan diadakan di Hotel Marriott, Putrajaya pada jam 10 pagi hari ini.
Antara ahli politik lain yang turut hadir pada persidangan itu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Penganjur DAP, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
#Zahid Hamidi #Persidangan Tahunan DAP #UMNO #Kerajaan Perpaduan #Anthony Loke Siew Fook