Jangan politikkan isu pembatalan 16 Enakmen Syariah Kelantan- Zahid

Bernama
Februari 11, 2024 11:15 MYT
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita pada Majlis Kunjungan Kasih Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu Simpang Empat, Hutan Melintang, hari ini. - Foto Bernama
BAGAN DATUK: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 tidak perlu dipolitikkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata ini kerana keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu berkait dengan peruntukan perundangan diluluskan oleh DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan dan bukannya berkenaan Mahkamah Syariah.
Pada masa yang sama, beliau bersetuju sekiranya perbincangan antara Ahli Parlimen yang beragama Islam diadakan, bagi memperkasakan undang-undang syariah dengan syarat pihak yang terlibat tidak mempolitikkan isu itu.
"Soal perbincangan, boleh diadakan, tetapi kita mesti menelaah tentang soal penentuan fikrah dan tidak menjadikan politik (sebagai) garis utama, atau sudah terhentak ke dinding baru nak panggil orang Islam untuk bincang tentang perkara ini," katanya selepas melakukan kunjungan kasih ke atas keluarga angkatnya sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengajak semua pihak, terutama ahli Parlimen beragama Islam untuk bergabung berbincang mengenai memperkasakan undang-undang syariah.
Ia susulan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota, selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman, bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.
Mengulas sama ada kabinet perlu mengadakan perbincangan mengenai keputusan itu, Ahmad Zahid berkata setakat ini, kabinet tidak bercadang untuk membincangkan perkara tersebut di dalam mesyuarat.
-- BERNAMA
#Enakmen Syariah Kelantan #Zahid Hamidi #tidak perlu dipolitik #Mahkamah Persekutuan #mahkamah syariah #Kes Nik Elin