KUALA LUMPUR: Ahli-ahli UMNO di seluruh negara mengharapkan agar Ahli-Ahli Parlimen parti itu yang kini menganggotai Kabinet segera meletak jawatan, dakwa Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ia susulan Perhimpunan Agung UMNO 2020 memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Tengku Razaleigh berkata, apabila keputusan itu dibuat, perwakilan dan ahli UMNO mengharapkan satu kejutan besar iaitu peletakan jawatan serentak menteri dan timbalan menteri serta pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli Parlimen Gua Musang itu menegaskan, desakan agar semua Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan meletak jawatan agar parti itu tidak dipersalahkan sekiranya ada perkara yang rakyat tidak puas hati dengan Perikatan Nasional.

Tegas beliau, apabila parti telah membuat satu keputusan besar seperti yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, ia perlu diikuti dengan peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri serta pengerusi GLC dari UMNO.


Menteri, Timb Menteri dan Pengerusi GLC dari UMNO perlu letak jawatan

"Berhenti serentak ramai-ramai, supaya kita memberi kejutan kepada kerajaan bahawa keadaan bukanlah seperti yang biasa diamali, ataupun dirasa oleh rakyat. Tetapi itu tidak berlaku malah ada yang tunggu sampai Ogos.

"Jadi pelik, saya sendiri pun susah nak terang kepada orang kerana dalam satu segi kita mendokong kerajaan ini, satu segi lagi kita bukan anggota kerajaan ini cuma sebagai pendokong... dokong apa tak tahu.

"Ada yang cakap kepada saya, sepatutnya sudah putus kerana ini kehendak akar umbi. Jadi dengan sendirinya kita mesti berundur, tidak boleh terlibat lagi sedikitpun dengan kerajaan ini.

"Macam saya sebut tadi, yang jadi menteri berundur dari jadi menteri, alah tak berapa sen pun rugi jadi menteri. Takkan lah kita nak pegang lagi jawatan yang tak bermakna lagi kepada perjuangan parti," katanya kepada Astro AWANI.

BACA: Ismail Sabri, Dr Adham antara menteri UMNO bertemu PM di Perdana Putra

BACA: Segerakan pemilihan parti, itu saja cara selesaikan kemelut dalaman UMNO - Khairy

BACA: UMNO perlu belajar hormat rakan komponen

Menurut Tengku Razaleigh, beliau dan ramai lagi ahli-ahli UMNO kecewa dengan sikap Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan kerana masih enggan meletak jawatan biarpun telah dibuat keputusan tidak ada kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Jelas beliau, Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada gerak kerja parti untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan mempertahakan jawatan yang disandang.

Ini bukan kali pertama, Tengku Razaleigh membuat gesaan agar Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC agar segera meletak jawatan.