POLITICS

'Janganlah serang peribadi sangat' - Rafizi

Farhan Hakimi 14/05/2025 | 15:40 MYT
Menurut Rafizi, kebelakangan ini, kebanyakan serangan terhadap calon termasuk dirinya adalah bersifat peribadi. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menasihatkan agar kempen pemilihan parti itu tidak menjurus kepada serangan peribadi antara calon.

Menurut Rafizi, kebelakangan ini, kebanyakan serangan terhadap calon termasuk dirinya adalah bersifat peribadi.

"Saya perhatikan, ada yang marah-marah, terutamanya dari Negeri Sembilan, kononnya saya memperlekehkan Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun).

"Ceritanya begini, saya sebenarnya bergurau. Saya kata, kita semua bermula dari tahap yang berbeza semasa dalam Pemuda Keadilan. Ada yang mula dengan pasang poster, pacak bendera, dan ada juga yang jaga trafik.

"Tok Min kata dia pernah jaga trafik. Jadi saya jawab, saya 'mulia' sikit sebab saya pernah pasang poster, pernah pacak bendera, tapi tak pernah jaga trafik. Jadi saya bergurau, 'aku lebih mulia sikitlah daripada dia sebab aku terus jadi penceramah secara ‘bidan terjun'.'

"Tapi ada pihak yang ambil sekerat kenyataan itu dan serang saya. Mereka kata saya tak layak jadi Timbalan Presiden sebab saya hina orang bawahan. Padahal mereka tak faham konteks sebenar," katanya.

Jelasnya, beliau hanya ingin mengingatkan ahli parti terutamanya yang masih muda supaya mengambil Aminuddin sebagai contoh bahawa beliau melakukan kerja-kerja seperti itu terlebih dahulu sebelum menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Beliau turut mengulas mengenai pihak yang mempertikai amalan berkempen secara terbuka bagi pemilihan PKR.

Jelas Rafizi, amalan itu selari dengan semangat reformasi yang menjadi asas penubuhan parti itu.

"Sebab itu, kalau ada yang rasa kurang selesa atau mengkritik saya kerana berkempen secara terbuka semasa pemilihan dalaman parti, saya nak tegaskan itulah budaya kita sejak dahulu lagi.

"Kita amalkan proses yang telus dan terbuka. Kita dengar pandangan, kita terima kritikan, dan kita bentangkan semuanya kepada rakyat.

"Dalam konteks pemilihan kali ini, sebab itulah saya memilih untuk berkempen secara terbuka. Inilah yang membezakan kita daripada parti-parti lain keterbukaan dan kejujuran dalam berdepan dengan ahli dan rakyat," ujarnya demikian dalam ceramahnya di Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Pahang di Mentakab pada Rabu.

Jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Rafizi dan Nurul Izzah manakala Anwar tidak dicabar bagi jawatan Presiden.





#PKR #Rafizi Raml #Nurul Izzah #politik #kempen #serangan peribadi