[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN
POLITIK

[TERKINI] Jasamu kami kenang sampai akhir hayat, kata Afnan Hamimi kepada Muhyiddin

Seth Akmal 30/12/2025 | 01:35 MYT
Afnan Hamimi turut menyanjung peranan dimainkan Muhyiddin selaku Perdana Menteri ke-8 semasa era pandemik COVID-19 yang disifatkan sebagai jasa yang amat besar untuk negara. - Gambar fail.
KUALA LUMPUR: Pas menyifatkan langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai satu tindakan berjiwa besar dan sangat dihormati.

Ketua Dewan Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, peranan Muhyiddin, antara lain, selaku Perdana Menteri ke-8 semasa era pandemik COVID-19 merupakan jasa yang amat besar untuk negara.

“Segala jasa dan khidmat bakti Muhyiddin selama memimpin PN dan Malaysia sebelum ini tetap akan dikenang dan diingati… jasamu kami kenang sampai akhir hayat,” katanya melalui kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Alor Setar itu turut menyatakan permohonan maaf dan menegaskan tidak pernah kurang rasa hormat kepada Muhyiddin selaku Pengerusi PN.

Tambahnya, segala pandangan yang dinyatakan selama ini bertujuan untuk kebaikan bersama dalam parti gabungan di bawah PN itu.

“Segala pandangan yang pernah saya ungkapkan sebelum ini, sedikitpun tidak mengurangkan rasa hormat dan sanjung saya kepada Muhyiddin, lebih-lebih lagi beliau sebagai Abah, orang yang lebih berusia dan berpengalaman dari saya.

“Saya memohon maaf andai ada kata-kata yang menyebabkan beliau rasa tidak senang atau tersinggung,” katanya.

Afnan Hamimi turut menegaskan kepimpinan PN harus diteruskan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai, hingga sampai ke destinasi,” katanya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataan hari ini mengumumkan peletakan jawatan selaku pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026.

Semalam, Afnan Hamimi menyarankan agar Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang diangkat menjadi Pengerusi PN 2.0 menggantikan Muhyiddin.





#Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #Afnan Hamimi Taib Azamudden #PAS