POLITIK

'Jawatan Pengerusi PN tidak semestinya saya' - Hadi Awang

Seth Akmal 09/01/2026 | 07:25 MYT
Abdul Hadi turut menyatakan akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang menjadi Pengerusi PN. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya khas untuk presiden sesebuah parti, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.


Ringkasan AI
  • Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak tertakluk kepada presiden mana-mana parti secara khusus.
  • Abdul Hadi memberi jaminan sokongan kepada calon yang mengisi kekosongan jawatan Pengerusi PN yang ditinggalkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  • Pas masih belum mengemukakan calon untuk jawatan tersebut dan keputusan dijangka dibuat dalam mesyuarat pusat minggu hadapan, sementara PN belum mengadakan mesyuarat bagi mengisi kekosongan Setiausaha Agung.


Malah Abdul Hadi turut menyatakan akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang menjadi pengerusi susulan jawatan tersebut kosong selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 29 Disember.

“Bukan semestinya saya, saya sedia membantu walaupun siapa dia yang jadi pengerusi... saya (akan) bantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di Marang, Terengganu hari ini.

Pada masa sama Abdul Hadi turut mengesahkan Pas masih belum menghantar nama untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut. sebaliknya ia dijangka akan diputuskan semasa mesyuarat Pas pusat pada minggu hadapan.

Tambahnya pihak PN juga belum mengadakan sebarang mesyuarat susulan kekosongan jawatan Setiausaha Agung yang sebelum ini disandang oleh Datuk Mohamed Azmin Ali.

“Saya serah kepada pusat untuk pilih siapa yang akan pegang (jawatan) pengerusi… PN pun tak buat lagi, Setiausaha tak ada tapi dia boleh (mesyuarat) dengan jumlah ahli-ahli jawatankuasa yang cukup,” katanya lagi.

Pada masa sama Abdul Hadi turut menafikan kebimbangan sesetengah pihak sekiranya Pas mendominasi PN akan menyebabkan kehilangan segmen pengundi bukan Melayu-Islam.

Tambahnya, isu tersebut akan selesai sekiranya gerak kerja PN dapat diteruskan dan ahli Pas menyedari hakikat keperluan sokongan pengundi daripada luar masyarakat Melayu-Islam.

"Kebimbangan itu akan selesai bila urusan berjalan... cuma kita kena sedar, kita memerlukan sokongan bukan sahaja orang Islam termasuk orang bukan Islam dan orang bukan Pas... Pas sahaja tak boleh menang," katanya lagi.







#Abdul Hadi Awang #PAS #Perikatan Nasional #Pengerusi PN