Jawatankuasa bersama Armada, Srikandi Muda bantu lancar proses suntikan vaksin

Astro Awani
Jun 13, 2021 08:34 MYT
Jawatankuasa itu tertumpu kepada kerjasama strategik merangka program seiring minat belia dan beliawanis. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Kerja bersama antara Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Srikandi Muda akan membantu kerajaan menggalakkan penglibatan lebih ramai sukarelawan dalam melancarkan proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.
Pengerusi Srikandi Muda, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor menjelaskan, penglibatan itu sekali gus menyahut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggalakkan penglibatan lebih ramai sukarelawan daripada kalangan belia dan beliawanis.
"Pembentukan Jawatankuasa Kerja ini tertumpu kepada kerjasama strategik dalam usaha kami untuk mendalami serta merangka program-program dan inisiatif-inisiatif seiring minat belia dan beliawanis negara masa kini.
"Jawatankuasa Kerja ini juga telah menetapkan sepenuh komitmen untuk program pendaftaran pengundi-pengundi muda. Program-program dan kempen-kempen kesedaran akan direncanakan mengikut aliran terkini golongan anak-anak muda," katanya dalam satu kenyataan bersama Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Ahad.
BACA: COVID-19: Vaksinasi harian catat penurunan dua hari berturut-turut
BACA: Kerajaan rangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan keluar pandemik COVID-19 - PM
Menerusi infografik dikongsikan di Twitter rasmi JKJAV, setakat 11.59 malam 12 Jun, jumlah kumulatif pemberian vaksin seluruh negara adalah sebanyak 4.36 juta.
Jumlah itu terdiri daripada 3.03 juta penerima vaksin dos pertama dan 1.33 juta penerima dos kedua.
Sementara itu, negeri yang paling tinggi jumlah pemberian harian vaksin COVID-19 adalah Kuala Lumpur dengan lebih 528,000.
Ini diikuti Selangor dengan lebih 451,000 dan Sarawak, lebih 300,000.
#Twitter #COVID-19 #vaksin #PPV #infografik #Belia #Bersatu