KUALA LUMPUR : Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menegaskan bahawa UMNO mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti diucapkan oleh Presiden UMNO semalam.

Jelasnya, UMNO juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan PN meskipun membuat keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"UMNO juga mesti sama-sama mengambil tanggungjawab kerana ia sebahagian daripada kerajaan PN.

"Sekiranya dia mengakui bahawa kerajaan PN telah gagal, itu bermakna UMNO juga telah gagal," ujarnya.

Malah tegas Loke, pergolakan politik yang berlaku adalah berpunca kemelut dalaman PN selepas Langkah Sheraton Februari tahun lalu.

"Ini adalah masalah dalaman PN. Mereka pecah kerana tidak dapat bekerjasama.

“Ini adalah masalah yang disebabkan oleh PN. Pada tahap ini, kita tidak boleh melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP," jelas Loke ketika ditemui pemberita di Seremban pada Khamis.

Malah ketika ini juga ujar Ahli Parlimen Seremban itu, bukan masa sesuai melibatkan PH ketika PN berdepan krisis kepimpinan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media secara maya pada tengah malam tadi menyatakan parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta merta.

Jelasnya keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO selepas Kerajaan PN gagal memenuhi tujuh syarat ditetapkan parti itu sebelum ini.