Walaupun tiada pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam pengumuman barisan Kabinet baharu semalam, tindakan itu tidak menyalahi undang-undang di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, jelas peguam Datuk Salehuddin Saidin, pelantikan empat orang menteri kanan oleh Tan Sri Muhyiddin itu akan melaksanakan tugas-tugas apabila ketiadaan Perdana Menteri dalam negara.

“Memang negara kita tidak pernah ketiadaan seorang Timbalan Perdana Menteri.

"Namun, pada asasnya, tindakan itu tidak menyalahi undang-undang di bawah peruntukan Persekutuan Perlembangaan kerana di dalam Perlembagaan sendiri tidak pernah menyatakan keperluannya untuk melantik Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam program Buletin AWANI Khas pada Selasa.

Salehudin berkata, pelantikan Kabinet baharu itu juga disifatkan sebagai sebuah Kabinet yang agak besar.



Dalam perkembangan sama, penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid, berpendapat, pembahagian komponen besar itu dilihat masih lagi mengambil kira kepentingan yang membentuk Perikatan Nasional.

“Mungkin ia tidak mengikut konvensyen biasa di mana ketua-ketua parti dilantik tetapi pembahagian itu masih lagi mengambil kira kepentingan dan keberadaan setiap komponen yang membentuk Perikatan Nasional,” kata Hamidin.

Kata Hamidin, komponen Kabinet baharu yang disifatkan terlalu besar itu menunjukkan bagaimana ia merupakan lebih kepada konsensi dalam konteks tersebut.

Mengenai ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Hamidin berkata, perkembangan itu akan menyumbang pada kemelut kepimpinan dalam politik negara.

“Kemelut kepimpinan itu akan sentiasa berterusan kerana ia menunjukkan lebih kepada manifestasi kepada kepimpinan.

“Ia berterusan bermaksud, kita sehingga ke hari ini masih lagi tidak jelas apakah yang akan berlaku sekiranya Perdana Menteri melepaskan tugas. Siapakah yang akan diberikan kuasa untuk mendakwa bahawa beliau mempunyai kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri,” kata Hamidin kepada Astro AWANI.

Jelas Hamidin, hala tuju Kabinet baharu ini juga dinanti-nantikan oleh rakyat apabila negara kini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran semasa seperti wabak COVID-19, kejatuhan harga minyak dan pasaran ekonomi dunia.