Kabinet Perpaduan: Tengku Zafrul galas tanggungjawab sebagai Senator bagi penggal kedua

Bernama
Disember 3, 2022 05:07 MYT
Bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menandatangani watikah pelantikan jawatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh sepenggal berkuat kuasa hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata beliau akan menjalankan tugas sebagai seorang Senator dengan penuh amanah dan integriti.
Katanya beliau akan turut memastikan suara rakyat terus diangkat di Dewan Negara demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran semua kaum, agama dan bangsa.
"Hari ini, saya telah diberikan amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.
"Ini adalah sebuah tanggungjawab yang besar, terutamanya ketika Malaysia perlu meneruskan momentum pemulihan kita pasca-COVID-19," katanya dalam catatan di laman Facebook beliau hari ini.
Kerajaan Perpaduan | Empat menteri angkat sumpah sebagai Senator
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tanggungjawab berat yang diberikan.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pucuk pimpinan parti," katanya.
Kabinet Kerajaan Perpaduan | Pengumuman Kabinet Kerajaan Baharu oleh Perdana Menteri
KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023
Bekas Menteri Kewangan itu telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ketiga yang menamakan beliau dalam barisan Kabinet selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul menggantikan bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
-- BERNAMA
#PRU15 #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #Kabinet Anwar Ibrahim #Pantau Kerajaan Baharu