Kabinet Sarawak tidak statik, boleh berubah ikut keadaan - Abang Jo

Bernama
Januari 5, 2022 23:38 MYT
Abang Johari (tengah) bersama barisan para pemimpin parti komponen GPS memotong pulut kuning sempena Malam Apresiasi Petugas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, malam tadi. -- fotoBERNAMA
KUCHING: Kabinet Sarawak yang diumumkan baru-baru ini bukanlah bersifat statik yang tidak boleh diubah, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Openg.
Abang Johari berkata beliau bersedia melakukan sebarang perubahan kepada barisan Kabinet negeri itu mengikut keperluan serta keadaan semasa.
"Sudah tentu Kabinet ini tidak statik, ia akan berubah dari semasa ke semasa mengikut keadaan tertentu.
"Kami akan menyelaraskan semula (Kabinet) dengan apa yang harus kami laksanakan (pada masa itu) tetapi apa yang penting kami kena laksanakan janji," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis malam apresiasi petugas Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) di sini, malam tadi.
Pada 30 Dis lalu, Abang Johari mengumumkan senarai Kabinet baharu negeri Sarawak yang terdiri daripada 10 Menteri dan 26 Menteri Muda.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pemilihan barisan Kabinet itu dibuatnya selepas mengambil kira pelbagai perkara termasuk faktor komposisi parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), kawasan serta etnik.
"Kami ada 34 perkara dalam manifesto pilihan raya GPS yang harus kami laksanakan. Sebab itu dalam menubuhkan Kabinet ini, kami juga ambil kira bagaimana kami boleh sama-sama tunaikan janji ini," katanya.
GPS yang diterajui Abang Johari memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri Sarawak 18 Dis lepas.
-- BERNAMA
#Abang Johari Openg #kabinet Sarawak #pemilihan barisan Kabinet #manifesto pilihan raya