Skip to main content

Politik

Kajian 66 kerusi PKR ‘cacat’, pembahagian ‘tier’ tak masuk akal - Penganalisis

61690107555_PKRBerkibar.jpg
Mohamad Tawfik berkata, fokus kajian PKR yang hanya menumpukan kepada 66 kerusi Parlimen bagi PRU16 itu tidak meyakinkan kerana banyak perkara masih kabur dalam pengumuman situasi kedudukan kerusi terbabit. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ yang dibentangkan pada majlis perjumpaan 900 pimpinan PKR di Petaling Jaya baru-baru ini disifatkan ‘cacat’ kerana tidak menggambarkan sentimen dan hakikat sebenar pengundi berbilang kaum menjelang PRU16.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, beliau menolak pembahagian ‘tier’ yang disifatkan tidak masuk akal kerana tidak disertakan sumber, kaedah penyelidikan serta penglibatan penyelidik bertauliah dan berpengalaman.

Sebagai ahli akademik katanya, hasil dapatan yang didedahkan itu lebih menjurus kepada usaha mengganggu emosi dan mewujudkan kebimbangan berbanding menyediakan satu kajian yang komprehensif, meyakinkan dan berkala memandangkan ia melibatkan perubahan persepsi politik.

“Pelbagai faktor lain (pemboleh ubah) tidak dinyatakan secara jelas dalam dapatan itu sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kejelasan hasil kajian yang diketengahkan.

“Saya sebagai ahli akademik dan tidak membuat ulasan berat sebelah, saya melihat jelas dokumen kajian ini bersifat ‘cacat’,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, sebuah portal berita menyiarkan artikel yang memaparkan analisis strategik PRU16 Parlimen Malaysia dalaman PKR yang dibentangkan seorang pemimpin kanannya.

Dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ itu menunjukkan PKR kini sebuah parti yang berada dalam mod berjaga-jaga dan sedang bergelut dengan realiti bahawa penguasaan mereka di kerusi utama semakin terhakis.

Banyak kawasan Parlimen yang wakil rakyatnya terdiri daripada menteri termasuk Perdana Menteri sendiri diletakkan di bawah Tier 2B (marginal) seperti Sungai Petani, Tanjung Malim dan Tambun. Selain itu, Gombak dan Sungai Buloh yang disandang dua Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R Ramanan, turut diletakkan dalam Tier 3 iaitu zon merah yang memerlukan intervensi luar biasa atau bantuan khas daripada pusat.

Mengulas lanjut Mohamad Tawfik berkata, fokus kajian PKR yang hanya menumpukan kepada 66 kerusi Parlimen bagi PRU16 itu tidak meyakinkan kerana banyak perkara masih kabur dalam pengumuman situasi kedudukan kerusi terbabit.

Katanya, perkara itu termasuk pendekatan penyelidikan, jumlah populasi pengundi yang dipilih untuk terlibat dalam kajian serta tempoh kajian dijalankan yang tidak dijelaskan secara terperinci.

“Jika dalam perbincangan akademik, hasil pengumuman sedemikian dianggap gagal kerana banyak perkara tidak jelas sumbernya dan hanya berdasarkan gambaran grafik serta pembahagian ‘tier’ kerusi yang diragui.

“Di samping itu, politik hari ini cenderung kepada penilaian persepsi. Kajian tidak boleh dilakukan hanya sekali dalam tempoh panjang memandangkan persepsi boleh berubah dan penilaian persepsi diukur menerusi kekerapan turun ke lapangan serta respons pengundi,” tegasnya.

Must Watch Video