[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
POLITICS

Kalah dengan Afdlin Shauki, Nik Nazmi optimis pertahan jawatan Naib Presiden PKR

Khalis Khadir 22/04/2025 | 05:56 MYT
Nik Nazmi berkata, keputusan itu kekal buat masa ini melainkan terdapat sebarang pengumuman besar yang akan dimaklum kemudian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad komited mempertahankan kedudukannya itu pada sesi Pemilihan PKR 2025 nanti meskipun tewas dalam saingan peringkat cabang, Sabtu lalu.
Katanya, keputusan itu kekal buat masa ini melainkan terdapat sebarang pengumuman besar yang akan dimaklum kemudian.
"Setakat ini, seperti yang saya pernah nyatakan, saya akan mempertahankan jawatan tersebut.
"Insya-Allah, kita kekal dengan keputusan itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Panel Solar Baharu sempena Hari Bumi Sedunia di Ikea Damansara, di sini, pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk meneliti semula proses pemilihan yang terdahulu.
“Kita akan fokus dua perkara esok. Seperti yang semua sedia maklum, ada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ini memang kita akan berbincang.
“Kita akan tengok dulu proses pemilihan sebelum ini, bincang apa yang berlaku dan kita tengok langkah seterusnya,” ujarnya.
Ditanya sama ada beliau akan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana calon lain yang turut berhasrat bertanding jawatan tertinggi parti, Nik Nazmi enggan mengulas lanjut mengenai strategi politiknya.
Sementara itu, berhubung status rayuan keputusan pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), beliau menjelaskan, ia tertakluk sepenuhnya JPP.
Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada Datuk Afdlin Shauki.
Menerusi pemilihan berkenaan, pelakon itu memperoleh 631 undi berbanding hanya 563 undi yang diperoleh Nik Nazmi selaku penyandang.
Pemilihan kepimpinan pusat PKR dijadual berlangsung 24 Mei ini.
#Nik Nazmi #PKR #Afdlin Shauki #pemilihan PKR