Skip to main content

Politik

‘Kalau saya dianggap orang luar, jelas kenyanyukan itu’ – Zahid

ZAHID HAMIDI
Ahmad Zahid semasa di program Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2026. - Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

PUTRAJAYA: Dakwaan kononnya wujud campur tangan pihak luar dalam proses pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan disifatkan sebagai tidak memahami realiti politik dan prosedur yang diamalkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk mengemukakan watikah serta cadangan nama kepada pihak istana bagi tujuan pelantikan Menteri Besar.

“Saya tidak mahu melayani kenyanyukan seseorang yang tidak memahami realiti politik bahawa nama mesti dikemukakan kepada pihak istana.

“Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, tentunya saya perlu mengemukakan watikah dan juga cadangan nama.

“Kalau tugas saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional di peringkat kebangsaan dianggap sebagai orang luar, ertinya kenyanyukan itu jelas terpancar daripada wajah orang yang mengatakannya begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026.

Sebelum ini, Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim, mempersoalkan proses pelantikan Datuk Seri Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Rais mendakwa terdapat pengaruh atau campur tangan pihak luar dalam urusan yang membabitkan adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.

Beliau turut mempersoalkan pertemuan Ahmad Zahid dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang menurutnya tidak diperincikan kepada media.

“Seharusnya dalam Negeri Sembilan, dari segi adatnya, orang luar tidak boleh campur tangan, tetapi perkara itu sudah berlaku. Dengan itu pula diketahui pada hari ini bahawa seseorang yang tidak disangka-sangka telah dilantik sebagai Menteri Besar,” katanya.

Rais turut mengaitkan pelantikan Ketua UMNO Kuala Pilah itu sebagai Menteri Besar dengan restu Undang di Negeri Sembilan.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement