IPOH: Naib Pengerusi DAP Perak, Abdul Aziz Bari menyifatkan kenyataan dibuat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengaitkan dirinya dengan kes penggunaan kalimah Allah sebagai mahu menjadikan beliau sebagai ‘kambing hitam’.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu juga menjelaskan afidavit yang diberikan dalam kes berkenaan juga adalah bersifat peribadi.

Malah katanya, kenyataan yang dibuat juga adalah bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan selain menafikan kenyataan Takiyuddin yang mendakwa beliau mewakili masyarakat Islam dalam kes berkenaan.

“Bila masa saya jadi wakil Orang Islam (dalam kes ini)? Saya bukan wakil Orang Islam atau handak jadi hero dan sebagainya. Sebaliknya saya hanya diminta oleh peguam untuk memberikan pandangan.

“Oleh itu saya hanya memberikan pandangan berdasarkan kepada peruntukan dan kerangka yang digariskan Perlembagaan. Jadi saya harap tuduhan yang dilemparkan kepada saya oleh  Setiausaha Agung Pas itu dapat dijernihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Khamis.

Dalam pada itu Aziz Bari berkata, pandangan yang dikemukakan adalah daripada perspektif hak kebebasan beragama dan kitab Injil tersebut bukan untuk disebarkan kepada umum hanya kepada penganut kristian di Sarawak.

Menurutnya, berdasarkan perkara dalam Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan rakyat di negara ini mengamalkan agama masing-masing tanpa sebarang halangan.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz menyifatkan dakwaan yang dilemparkan Takiyuddin dilihat seolah-olah sengaja dijadikan isu untuk mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pada masa sama, beliau juga mempersoalkan mengapa beliau dan DAP yang dijadikan ‘sasaran’ dalam kritikan Takiyuddin sedangkan ia diputuskan Mahkamah Tinggi.

“Kes itu diputuskan oleh hakim berkenaan di Mahkamah Tinggi bukan saya yang putuskan. Jadi kenapa tak berani mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi itu. Kenapa saya dan DAP yang tidak ada kena mengena dijadikan sasaran," ujarnya.

Abdul Aziz sebelum itu mengulas berkenaan video sidang akhbar oleh Takiyuddin yang tular mengaitkan  Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga pensyarah Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom.

Sebelum itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.