SEREMBAN: Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa kini sah menyertai parti Pas selepas mengemukan permohonan beberapa bulan lalu.

Sijil keahlian kepada bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu disampaikan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di pentas Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di D’Cattleya, di sini malam Sabtu.

"Dan izinkan saya untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengerusi PN, dan Presiden pas yang telah pada hari ini menerima permohonan saya untuk menjadi ahli PN dan ahli Parti Islam Se-Malaysia," katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh itu turut menerima sijil keahlian Perikatan Nasional (PN) daripada presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, keputusan dibuat selepas meneliti secara dekat dan mendalam senario politik negara, lebih-lebih lagi apabila mengenang realiti UMNO, bukan lagi sebuah parti yang menjadi pilihan rakyat.

“Walaupun ada pemimpin-pemimpin yang dipecat kononnya sedia untuk bersama UMNO, (tetapi) saya nekad buat keputusan tidak kembali kepada UMNO.

“Realitinya UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat, UMNO bukan parti pilihan masa ini (malahan) bukan lagi parti mengutamakan perpaduan rakyat yang mahu menjaga agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau juga menyifatkan UMNO juga kini sebuah parti politik yang sedang ‘digonggong’ oleh presidennya sehingga menyebabkan parti itu menjadi penderhaka.

“Tiada sebab saya menghabiskan sisa usia saya, sisa keringat saya, harta benda saya untuk parti yang sedang ‘digonggong’ presidennya yang boleh menyebabkan parti itu menjadi penderhaka kepada orang Melayu dan umat Islam,” katanya lagi.