POLITIK
Keberanian Akmal suara akar umbi yang enggan tunduk kepada DAP – Exco Puteri UMNO

Menurut Raja Sara (kiri), suara Akmal bukan sekadar pendirian peribadi, sebaliknya ia menggambarkan rasa sebenar yang membara dalam kalangan ahli parti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh dalam menyuarakan beberapa isu terkait dengan DAP menaikkan semangat ahli UMNO di peringkat akar umbi yang sebelum ini memilih untuk berdiam diri.
Ringkasan AI
- Tindakan lantang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh, menyuarakan isu berkaitan DAP dianggap membangkitkan semangat ahli UMNO yang sebelum ini memilih untuk berdiam diri.
- Raja Sara Petra menyatakan perjuangan Akmal bukan sekadar tentang bendera, tetapi lambang maruah ahli UMNO yang berasa terhina dan dipaksa tunduk kepada DAP.
- Konflik yang bermula antara Pemuda UMNO dan DAPSY kini dilihat sebagai pertembungan lebih besar antara UMNO dan DAP secara keseluruhan, mencetuskan gelombang perjuangan terbuka dalam parti.
“Hari ini Akmal telah menyalakan api dalam diri ramai daripada kita, api yang tidak boleh diabaikan. Tahukah kita bahawa ramai sebenarnya ahli UMNO yang tidak selesa dengan DAP, namun kebanyakan mereka memilih untuk mendiamkan diri.
“Atas faktor itu pendirian Akmal begitu penting, beliau bersuara lantang tentang perkara yang selama ini hanya dibisikkan di kedai kopi dan surau,” katanya dalam kenyataan di media sosial pada Ahad.
Raja Sara yang juga anak kepada blogger terkenal, Allahyarham Raja Petra Kamarudin berkata, isu bendera yang diperjuangkan Akmal bukan sekadar soal sehelai kain tetapi ia telah menjadi lambang maruah ahli UMNO.
Katanya, pertembungan yang tercetus kini bukan lagi antara sayap Pemuda UMNO dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tetapi telah melebar kepada UMNO dengan DAP secara keseluruhan.
Beliau menambah, keberanian Akmal dalam mempertahankan pendirian itu telah menukar rasa kecewa ahli UMNO kepada sebuah perjuangan terbuka.
“Apa yang bermula dengan bendera telah menjadi lambang kepada kemarahan akar umbi UMNO yang berasa terhina dan dipaksa tunduk kepada DAP. Mungkin inilah sebenarnya pertarungan yang dinanti-nantikan oleh akar umbi sejak sekian lama,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami