KUALA LUMPUR: Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tidak tergugat kerana ketiadaan sebarang usul tidak percaya atau kelulusan dalam isu berkenaan di Parlimen.

Penganalisis politik, Chandra Muzaffar berpendapat, sehingga kini masih belum ada usul atau resolusi sah dari segi undang-undang yang menafikan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Jelasnya, di dalam Perlembagaan, seorang Perdana Menteri tidak akan hilang kedudukannya kerana salah sebuah parti politik dalam gabungan yang menyokongnya berundur

"Kerana ini perkara yang berlaku di tempat lain juga, di mana salah sebuah parti dalam satu gabungan yang menyokong kerajaan atau perdana menteri tertentu berundur, tetapi perdana menteri itu tetap perdana menteri kerana kedudukan beliau hanya terancam sekiranya usul dalam Perlembagaan yang berdasarkan bukan kepada parti politik tetapi berdasarkan anggota Dewan Rakyat.

"Sekiranya usul yang disokong oleh majoriti anggota Dewan Rakyat yang menafikan kedudukan beliau yang tidak lagi menganggap beliau sebagai Perdana Menteri, sekiranya usul sedemikian rupa itu lulus, tetapi setakat ini belum berlaku kerana Parlimen belum bersidang dan usul sedemikian rupa belum dikemukakan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

BACA: Tukar perdana menteri bukan jaminan COVID-19 berakhir - Penganalisis

BACA: 
Najib nafi terlibat dalam kenyataan Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN

Pada Khamis, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan menegaskan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan secara terhormat selepas hilang keabsahan susulan tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau.

Jelas kenyataan itu, ini kerana, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokongnya.

Dalam pada itu kata Chandra, tiada sebab Muhyiddin harus meletakkan jawatan kerana desakan mana-mana parti politik atau pembangkang.

Ujarnya, setakat ini jelas kebanyakan Ahli Parlimen tidak menyokong usaha untuk menggulingkan Muhyiddin selain tidak bersetuju untuk beliau meletakkan jawatan.