POLITIK

Kekosongan 3 DUN: "Harap jangan sampai PRK diadakan" - MB Perlis

Abd Hadi Che Awang 28/12/2025 | 11:20 MYT
Abu Bakar (kiri) dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis hari ini. - Foto Bernama
KANGAR: Isu pengosongan luar jangka tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bintong, Chuping dan Guar Sanji diharap dapat diselesaikan dalam waktu terdekat selain tidak membawa kepada perlaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi-kerusi berkenaan.


Ringkasan AI
  • Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, menekankan keperluan penyelesaian isu pengosongan tiga kerusi DUN Bintong, Chuping, dan Guar Sanji secara cepat bagi membolehkan penyusunan ADUN di Perlis dilakukan tanpa perlu mengadakan Pilihan Raya Kecil.
  • Beliau menyerahkan keputusan kepada ADUN yang terlibat serta menegaskan perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dilakukan secara seimbang melibatkan wakil daripada Pas dan Bersatu.
  • Komposisi ADUN di Perlis kini menunjukkan Pas dengan enam kerusi, diikuti Bersatu lima dan Pakatan Harapan (PH) dengan satu kerusi, setelah pengosongan tiga kerusi DUN dilaksanakan.


Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menyatakan ia adalah bagi memastikan penyusunan membabitkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis dapat dilakukan segera sekali gus melancarkan proses pentadbiran kerajaan.

"Untuk ADUN (yang kerusi dikosongkan) itu kita serah balik (kepada pihak terlibat), kita sedang menanti apa juga tindakan ataupun rayuan daripada ketiga-tiga ADUN itu.

"Kita amat mengharapkan perkara itu dapat diselesaikan dengan segera. Kita tak hendak diadakan PRK, supaya penyusunan antara ADUN-ADUN itu dapat diselesaikan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau pada Ahad.

[TERKINI] Sidang media MB Perlis yang baharu


Dalam perkembangan berasingan, Abu Bakar menyatakan bahawa perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu akan dibuat secara seimbang membabitkan ADUN-ADUN daripada Pas dan Bersatu.

Untuk rekod, selepas Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan pengosongan tiga kerusi DUN terlibat, komposisi ADUN di negeri itu memperlihatkan Pas dengan enam kerusi diikuti Bersatu lima dan juga Pakatan Harapan (PH), satu.


#konflik politik Perlis #Menteri Besar Perlis #kekosongan kerusi DUN #hubungan Pas Bersatu #pilihan raya kecil #PRK #Abu Bakar Hamzah