Kelab Pidato Umno akan diwujudkan di semua 191 bahagian bermula Januari depan bagi menjelaskan isu semasa kepada rakyat, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata penubuhan kelab yang dipengerusikan oleh ketua penerangan di setiap bahagian itu adalah selaras dengan ketetapan mentransformasi dan meremajakan Umno yang diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 baru-baru ini.

"Anggota kelab boleh terdiri daripada kepimpinan Umno di setiap bahagian sendiri atau penceramah bebas yang akan berceramah tentang isu semasa tanah air seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), harga minyak dan isu politik sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

Apabila ada isu besar tertentu, anggota kelab ini akan dipanggil dan kita akan beri penjelasan kepada mereka, seterusnya mereka akan berceramah di bahagian masing-masing. Bila hampir pilihan raya umum, ceramah mungkin akan dikerapkan," katanya.

Ahmad bercakap kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Jawatankuasa Penerangan Umno Empat Peringkat seluruh Selangor bersama Ketua Penerangan Umno di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya melihat keperluan mewujudkan kelab pidato itu bagi membolehkan anggota Umno di setiap bahagian berinteraksi dengan rakyat secara terus.

Selain itu, beliau berkata penubuhan kelab itu juga bertujuan untuk menarik lebih ramai orang muda menyertai Umno.

"Penubuhan kelab ini adalah susulan kedua selepas perhimpunan agung parti dan susulan pertama ialah pelancaran sistem pendaftaran keanggotaan secara dalam talian yang disempurnakan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini," katanya.