Kelantan amal politik matang, sejahtera dengan Persekutuan

Sinar Harian
Ogos 16, 2023 02:00 MYT
Mohd Nassuruddin (kanan) melaporkan diri pada hari pertama sebagai Menteri Besar di Kompleks Darulnaim, Kota Bharu pada Rabu. - Gambar Sinar Harian
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menegaskan kerajaan negeri akan mengamalkan dasar politik matang dan sejahtera dalam menjaga hubungan pihaknya dengan kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, dengan cara itu hubungan mereka akan kekal kukuh dengan semangat federalisme.
"Pendekatan ini adalah demi kesejahteraan rakyat Kelantan.
"Saya mengharapkan sokongan dan dukungan semua pihak untuk sama-sama meneruskan legasi Membangun Bersama Islam (MBI)," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau melaporkan diri pada hari pertama sebagai Menteri Besar di Kompleks Darulnaim dekat sini.
Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri akan meneruskan legasi MBI yang mana dasar ini terbukti meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran, kemakmuran negeri dan kebajikan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Mohd Nassuruddin memberitahu, beliau akan menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar untuk semua rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang kaum dan sebagainya. - Sinar Harian
#Kelantan #politik matang #kerajaan Persekutuan #menteri besar kelantan