SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pembangkang masih enggan menerima pelawaan kerajaan bagi mengadakan perbincangan mengenai projek di kawasan mereka yang belum diluluskan.

Menurut beliau, apa yang dilakukan pembangkang kini hanyalah terus memberi kecaman kepada kerajaan termasuk mendakwa kerajaan zalim kerana tidak memberi kelulusan projek yang dibawa.

"Ini soal yang dibangkitkan tentang projek-projek kawasan yang dikatakan pembangkang. Bila saya jadi Perdana Menteri saya jawab dengan perundingan kita akan segera meluluskan projek daripada pembangkang, sama dengan ahli Parlimen yang lain.

"Bagi pihak kerajaan saya telah minta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk pelawa dan bincang dengan ahli Parlimen pembangkang. Sampai sekarang pihak pembangkang enggan mengadakan rundingan itu. Terus kecam, kita tidak bagi kelulusan, zalim, dan yang dulu kamu tak bagi, tak zalim lah?

"Dalam politik ini guna agama, dia putuskan hukum. Kamu tak bagi kedudukan, kamu zalim. Jadi kamu 30 tahun kamu tak bagi peruntukan dia. Zalim atau tidak?," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis menutup Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat 'Pembangunan Madani, Rakyat Disantuni' di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah di Merbok pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata pihaknya tidak pernah membelakangkan projek di kawasan pembangkang kerana mahu memastikan semua projek untuk rakyat berjalan.

"Sama ada dia melalui ahli Parlimen, parti Kerajaan Perpaduan atau pun pembangkang atau tidak, dia tidak mempengaruhi keputusan kita untuk menentukan projek rakyat mesti diutamakan.

"(Cuma) ia perlu ada satu mesyuarat, setuju pada kita hari ini, esok saya luluskan. Contoh hari Isnin kita setuju hari Selasa saya luluskan, walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, ia tak jadi isu. Saya tahu peranan saya sebagai perdana menteri menjaga kepentingan semua rakyat," katanya lagi.