KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Harapan mengumumkan barisan kepimpinan baharu sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Menurut sayap pemuda itu dalam satu kenyataan pada Khamis, jawatan Setiausaha disandang oleh Timbalan Speaker Amanah, Musaddeq Khalid manakala ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei dipilih sebagai Bendahari.

“Kami juga menzahirkan komitmen berkesatuan antara komponen sayap pemuda parti komponen Pakatan Harapan khusus bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 dan terus bertekad membina keyakinan anak muda untuk konsisten membawa nafas politik yang baharu, politik yang mementingkan rakyat, politik yang berteraskan dasar dan solusi dan juga menyemarakkan politik progresif pelbagai bangsa dan faham agama,” menurut kenyataan tersebut.

Empat individu yang dilantik bagi mengisi jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda ialah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Mohd Hasbie Muda; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim; Ketua Wanita Muda Amanah, Nurthaqaffah Nordin; dan Ketua Pemuda Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang.

Bagi jawatan Naib Ketua Angkatan Muda pula, empat individu turut dilantik iaitu Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan; Timbalan Ketua DAPSY, Young Syefura Othman; Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Timbalan Ketua Pemuda UPKO, Kennedy John Angian.

Sementara itu, Angkatan Muda PH bakal menganjurkan Jelajah Harapan Anak Muda yang akan bermula di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Ogos diikutii beberapa negeri lain.

“Jelajah Harapan Anak Muda ini bukan sahaja sebagai medan pencerahan dan penerangan secara konvensional, tetapi bagi menjalankan komitmen Angkatan Muda Harapan untuk terus bersama dengan anak muda mengangkat aspirasi mereka melalui suara hati nurani anak muda,” menurut kenyataan itu.