Kembalikan 'Singa UMNO' dalam Pergerakan Pemuda - Mohd Amir

Astro Awani
Jun 22, 2018 07:43 MYT
MOHD AMIR: Kriteria 'Singa UMNO' itu menjadi pencarian dan teras pemimpin Pemuda di semua peringkat terutama yang tertinggi. - Gambar fail
Pergerakan Pemuda UMNO memerlukan pemimpin yang benar-benar mampu menyumbang dan mengembalikan kegemilangannya sebagai 'Singa UMNO'.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohd Amir Abd Halim berkata, kriteria itu menjadi pencarian dan teras pemimpin Pemuda di semua peringkat terutama pucuk pimpinan tertinggi.
"Saingan sengit jawatan naib ketua Pemuda UMNO menjelang pemilihan parti itu 30 Jun depan dijangka berlaku antara dua calon tumpuan iaitu Shahril Hamdan dan Bastien Onn.
"Saya melihat kedua-dua calon mempunyai kelebihan dan merupakan aset kepada Pemuda UMNO. Apa yang pasti kita tidak mampu untuk kehilangan kedua-duanya.
"Saya melihat Bastien sedang mendahului mungkin kerana sudah berpengalaman menerajui bahagian dan pernah bekerja di sektor kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
BACA: Tiada pilih kasih, nepotisme dalam pemilihan UMNO - Hahasrin
BACA: Dibelenggu politik wang? Ini reaksi calon Ketua Pemuda UMNO
Bastien merupakan Ketua Pemuda UMNO Segamat, sementara Shahril mengetuai Pemuda Kuala Langat dan juga penyandang Ketua Penerangan Pemuda UMNO.
Kedua-dua calon menganggotai Biro Profesional Muda Pemuda UMNO.
Dalam pada itu kata Mohd Amir, Bastien merupakan seorang yang berpengalaman dan pernah bekerja di empat Kementerian dan Kerajaan Johor.
Bagaimanapun tambahnya, Sharil juga merupakan calon yang bagus dan pernah bertanding pada PRU14 di Parlimen Kuala Langat.
Katanya, Shahril juga mempunyai sisi dan pandangan yang menarik.
Mohd Amir turut memberitahu, amalan politik wang juga harus ditolak sepenuhnya selain mahu Lembaga Disiplin UMNO menjalankan siasatan ke atas mana-mana pemimpin yang terlibat dalam kes berkenaan.
Calon lain yang bertanding untuk jawatan naib ketua Pemuda Umno ialah Zahruddin Yahya, Sharique Adam Das, Razali Tushan, Halim Sidek Hassan, Ridzuan Hashim Baki, Safhwan Matusin dan Fariz Hadi.
#Barisan Nasional #Pemilihan UMNO #Pemuda UMNO #PRU14 #UMNO