POLITIK

'Kembalilah...' - Zahid zahir kesudian UMNO sambut kembali mereka yang tidak lagi bersama parti

Firdaus Azil 16/01/2026 | 04:45 MYT
Ahmad Zahid berkata, UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menyambut kumpulan terbabit. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO bersedia untuk menerima kembali mana-mana individu atau secara en bloc yang sudah tidak lagi bersama parti, kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, bagi menyambut kembali kumpulan tersebut, yang beliau sifatkan sebagai saudara-mara atau adik beradik, UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.

Menyifatkan UMNO sebagai ‘Rumah Bangsa’, Ahmad Zahid berkata, parti itu adalah rumah asal politik Melayu yang melahirkan kemerdekaan, membina Perlembagaan, memartabatkan Islam dan mendaulatkan Raja-raja Melayu.

“Namun, rumah ini mesti dijaga. Takkan kita hanya berpeluk tubuh, andai atapnya mula bocor, lantainya mula reput. Rumah ini perlu dibersihkan dari debu keangkuhan, agar kembali menjadi teduhan selesa buat seluruh anak bangsa tanpa mengira pangkat dan darjat. UMNO bukan parti elit, tetapi lahir dari keringat rakyat.

“UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali - saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah.. kembalilah.. kembalilah.. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan,” katanya sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 pada Jumaat.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat sebagai satu isyarat yang jelas terhadap seruan Pemuda UMNO yang memohon agar parti menerima kembali mereka yang telah meninggalkan parti itu, termasuk yang dipecat atau digantung.

Sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menggesa kepimpinan parti untuk berlapang dada dan membuka semula pintu kepada bekas pemimpin dan ahli yang masih setia kepada perjuangan UMNO, biarpun dengan status digantung atau dipecat.

Ucapan itu dilihat sebagai isyarat jelas sokongan terbuka UMNO kepada tokoh seperti Khairy Jamaluddin, bekas Ketua Pemuda UMNO yang dipecat pada 2023 susulan kritikan terbuka terhadap kepimpinan parti.

Turut dibuang adalah bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Sufian, manakala Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein masih dalam penggantungan.

Kelibat Khairy, yang juga bekas Menteri Kabinet pada persidangan Pemuda UMNO semalam turut mencuri tumpuan, dan beliau secara terbuka mengakui sedikit sebak kerana kembali semua ke persidangan tersebut sebagai jemputan khas.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu dengan merangkul semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Selain itu beliau mengakui Barisan Nasional yang telah berusia lebih 50 tahun dan perlu diberikan nafas baharu agar dilihat sesuai dengan tuntutan zaman.

“Rakan-rakan politik yang setia selama ini perlu dirangkul bagi menambah kekuatan dan sokongan. Untuk itu, UMNO mencadangkan satu proses rebranding atau penjenamaan semula yang menyeluruh perlu dibuat bagi menghadapi PRU ke 16,” katanya lagi.


#PAU 2025 #Ahmad Zahid Hamidi #Khairy Jamaluddin #UMNO