KUALA LUMPUR: “Kita akan umum kemudian,” demikian jawapan ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu semasa di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak mengulas lanjut inti pati pengumuman itu.
Advertisement
Pada Isnin, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi sidang medianya menegaskan, beliau kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan meskipun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadapnya.
Aminuddin berkata, tanggungjawab itu akan terus dipikulnya selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang menitahkan beliau terus mentadbir kerajaan negeri.
Dalam sidang media tergempar pada pagi Isnin, 14 ADUN BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Penarikan sokongan itu mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Bakar kemudian turut mengadakan satu sidang media, mengumumkan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan 14 ADUN BN itu.