PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih pendekatan berhati-hati apabila enggan mengulas kenyataan berhubung UMNO Negeri Sembilan yang dilaporkan sanggup menjadi pembangkang di negeri itu.
Beliau berkata, kenyataan berkenaan masih belum jelas dan tidak wajar diperbesarkan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam landskap politik negeri.
Advertisement
“Kenyataan UMNO itu belum jelas, jadi saya tidak mahu mengulas lanjut. Pada saya, isu ini tidak perlu dibesar-besarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES), di sini, pada Isnin.
Anwar berkata, setakat pengetahuannya, isu berkaitan institusi raja juga tidak berbangkit memandangkan beliau sendiri telah mendengar pandangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Menurut beliau, kerajaan Pusat berpegang teguh kepada prinsip menghormati sistem beraja dan mematuhi titah Tuanku agar pentadbiran negeri kekal stabil, termasuk meneruskan kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sehingga keadaan sebenar dapat dinilai.
“Isunya tidak berbangkit kerana kita patuh kepada Titah Diraja supaya keadaan negeri stabil, Menteri Besar diteruskan dan kita lihat sama ada benar wujud kehilangan sokongan,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sebagai parti yang mendukung sistem beraja berperlembagaan, PH akan terus menghormati adat, peraturan dan undang-undang yang menjadi sebahagian daripada sistem pemerintahan di Negeri Sembilan.
Beliau menambah, perkara itu turut ditekankan kepada Menteri Besar agar selain mematuhi titah Tuanku Yang di-Pertuan Besar, pentadbiran negeri perlu terus menyantuni adat Perpatih serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di negeri itu.
Anwar mengulas demikian ketika diminta mengulas kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang menyatakan kesediaan parti itu untuk menjadi pembangkang daripada bersama Pakatan Harapan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, isu tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai krisis muktamad dan kerajaan pusat kekal menyokong usaha memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negeri demi kepentingan rakyat.