KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkembangan politik di Negeri Sembilan susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Menurut beliau, pertemuan dengan Perdana Menteri itu boleh diadakan pada bila-bila masa sekiranya perlu bagi meneliti situasi semasa dan implikasi yang timbul.
Advertisement
“Saya perlu bertemu dengan beliau... bertemu bila-bila masa,” katanya ketika diminta mengulas kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri berhubung isu berkenaan.
Mengulas punca perkembangan itu, Ahmad Zahid berkata tindakan ADUN terbabit dipercayai berkait dengan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan mengenai institusi adat serta Undang-Undang Tubuh Negeri.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, isu berkenaan mungkin menjadi antara faktor yang mendorong ADUN daripada UMNO mengambil pendirian sedemikian.
“Soal yang diberitahu kepada saya ialah apabila Menteri Besar mengeluarkan kenyataan mengenai institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri, inilah yang mungkin menyebabkan ADUN daripada parti kami membuat tindakan sedemikian,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan situasi itu akan terus diteliti termasuk melalui perbincangan di peringkat kepimpinan parti.