POLITIK

Kemelut politik Perlis: ‘Presiden Pas disaran ambil alih Pengerusi PN 2.0’ - Afnan

Seth Akmal 29/12/2025 | 10:03 MYT
Afnan menggesa agar Pas mengambil alih pimpinan Perikatan Nasional (PN). - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: “Kawan yang menjatuhkan kawan, ini kawan yang khianat.”


Ringkasan AI
  • Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menggesa Pas mengambil alih pimpinan Perikatan Nasional (PN) selepas Bersatu Perlis melantik Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar baru.
  • Afnan kritik Bersatu atas keengganan mengambil tindakan terhadap lima ADUN yang menandatangani Akuan Berkanun (SD) menolak calon Menteri Besar. Beliau menyarankan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
  • Desakan untuk teraju PN 2.0 dengan Muafakat Nasional 2.0 dilontarkan, sementara Muhyiddin nyatakan tiada arahan bagi ADUN Bersatu menandatangani SD di Perlis. Tiga ADUN Pas dihentikan keahlian kerana tindakan serupa.


Ini pendapat Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berhubung kemelut politik Pas dan Bersatu di Perlis, buat masa ini.

Afnan, yang merupakan Ahli Parlimen Alor Setar, menggesa agar Pas mengetuai Perikatan Nasional (PN) susulan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu pada Ahad.

“Kawan yang menjatuhkan kawan, ini kawan yang khianat … dengan apa yang berlaku di Perlis ini, layak sangatlah Pas mengambil alih mengetuai PN,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan di Facebook miliknya, hari ini.


Afnan turut menyatakan sikap Bersatu yang enggan mengambil tindakan ke atas lima ADUN yang didakwa menghantar Akuan Berkanun (SD) kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk tidak memberi sokongan terhadap ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

“Kawan kita gagal mengawal ADUN partinya yang 'sign' SD menolak Cikgu Shukri. Bila ditanya, dijawab tiada arahan untuk ADUNnya 'sign' SD.

“Didesak ambil tindakan tegas seperti Pas ambil tindakan terhadap tiga bekas ADUN Pas, tapi sehingga kini tiada tindakan … bahkan, dihantar pula nama untuk jadi Menteri Besar,” dakwanya.

Dalam kenyataan yang sama, Afnan turut menyarankan agar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diangkat menjadi Pengerusi PN menggantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Yang khianat tidak boleh dibuat kawan, yang lemah tak boleh jadi ketua, yang khianat, sila berambus, yang lemah, sila turun,” tambahnya.

Beliau menggesa agar lahir cetusan baharu dengan PN 2.0 yang diperkukuh melalui gerakan politik Muafakat Nasional 2.0.

Pada Sabtu, Muhyiddin dilaporkan menyatakan tiada arahan dikeluarkan kepada ADUN Bersatu di Perlis untuk menandatangani sebarang SD.

Beliau menjelaskan bahawa Bersatu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis dari parti itu setelah dititah oleh Istana Perlis untuk berbuat demikian.

Pada Rabu, tiga ADUN Pas di Perlis iaitu Saad Seman (Chuping); Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) telah dihentikan keahlian oleh parti selepas didakwa terbabit dalam menandatangani SD.











#Bersatu #Krisis Politik Perlis #Pemuda Pas #Mohd Shukri Ramli #Muhyiddin Yassin #Afnan Hamimi Taib Azamudden