POLITIK

Kemelut politik: Tidak adil Bersatu dipersalahkan sepenuhnya - Dewan Ulama Pas Perlis

Astro Awani 31/12/2025 | 02:40 MYT
“Meletakkan keseluruhan kesalahan ke atas Bersatu adalah tidak adil," kata Ahmad Adnan Fadzil. - Gambar fail.
KUALA LUMPUR : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya akibat kemelut politik yang berlaku di Perlis, kata Ketua Dewan Ulama Pas Negeri, Ahmad Adnan Fadzil.

Menurut Ahmad Adnan, tindakan meletakkan keseluruhan kesalahan ke atas Bersatu berisiko mencetuskan desakan yang tidak perlu, sekali gus memberi kesan negatif terhadap perjalanan politik Pas sendiri.

“Meletakkan keseluruhan kesalahan ke atas Bersatu adalah tidak adil, risikonya ialah tercetus desakan-desakan yang tidak perlu, termasuk perletakan jawatan yang juga sebenarnya boleh dielakkan,” katanya melalui kenyataan di Facebook miliknya hari ini.


Dalam kenyataan yang sama, beliau mengulangi pendirian bahawa tiada unsur pengkhianatan daripada Bersatu dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang telah dihentikan keahlian pada 24 Disember lalu.

Beliau menegaskan, punca utama kemelut tersebut adalah daripada kegagalan pihak yang sepatutnya memikul tanggungjawab untuk melaksanakannya dengan berkesan.

Menurutnya, kelemahan dalam mengurus dan menangani isu berkenaan telah mencetuskan krisis yang sepatutnya dapat dielakkan melalui tindakan lebih teratur dan bertanggungjawab.

“Kejadian ini tidak akan berlaku sekiranya pihak yang diamanahkan memainkan peranan dengan sebaiknya sejak awal,” katanya.

Beliau turut mendakwa Akuan Berkanun (SD) ditandatangi dihadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bukan dibuat di luar.

Selain itu, Ahmad Adnan menegaskan, Pas masih memerlukan gabungan politik yang kukuh, khususnya Bersatu, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Tambahnya, kejayaan Pas sebelum ini turut didorong oleh faktor calon, kelemahan parti lawan serta polemik isu semasa, selain kekuatan jentera dan sokongan akar umbi.

“Pas belum mampu menang dengan kekuatan sendiri, tidak dinafikan Pas kuat dari sudut jentera dan akar umbi namun masih ada kekuatan penting yang belum dimiliki sepenuhnya.

“Pas memerlukan gabungan bagi menampung kekurangan tersebut. Buat masa ini, gabungan paling ideal ialah bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) wajar dikekalkan,” katanya.

Ahmad Adnan turut berharap agar pentadbiran negeri Perlis dapat diteruskan seperti sebelum ini di bawah PN, dengan barisan Exco daripada gabungan Pas dan Bersatu, dengan perubahan hanya melibatkan jawatan Menteri Besar sahaja.

Pada Isnin, ADUN Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah dari Bersatu telah mengangkat sumpah selaku Menteri Besar menggantikan ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli dari Pas yang telah meletakkan jawatan pada 25 Disember atas faktor kesihatan.



#PAS #PN #Perlis #Bersatu