Kemenangan Vivian Wong tunjukkan rakyat masih sokong PH - Anwar Ibrahim

Bernama
Mei 11, 2019 22:13 MYT
Anwar (kiri) berkata sesuatu kepada Vivian sewaktu menghadiri Majlis Ceramah Umum Kempen PRK Sandakan di Bandar Prima, Sandakan, 7 Mei lalu. Turut hadir Penasihat DAP Lim Kit Siang (tengah). - BERNAMA
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemenangan Vivian Wong daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada Sabtu jelas menunjukkan rakyat masih memberi sokongan dan dukungan padu kepada Pakatan Harapan (PH).
Namun, Anwar berkata kepimpinan PH tidak boleh merasa selesa dengan kemenangan Vivian, sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi memastikan taraf ekonomi rakyat terus terbela di setiap peringkat.
"Selain itu, pimpinan PH juga dinasihatkan agar menggerakkan segala usaha membantu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam merealisasikan tujuh teras strategik bagi mencapai matlamat 'Kemakmuran Bersama' yang diumumkan sewaktu Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Anwar, Ahli Parlimen Port Dickson, turut mengucapkan tahniah kepada Vivian kerana diberi mandat oleh rakyat di Sandakan untuk menjadi wakil rakyat mereka.
"Saya yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik seperti mana yang dilakukan mendiang bapanya (Datuk Stephen Wong Tien Fatt)," katanya. -- Bernama
#Anwar Ibrahim #DAP #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #PKR #Sandakan #selesa #Vivian Wong