KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang bermula agak hambar kini sudah mula menunjukkan aura panas selepas memasuki hari kelima.

Bahan kempen seperti poster dan bendera dilihat semakin rancak dipasang di tepi jalan utama walaupun masih belum secara menyeluruh.

Tinjauan Astro AWANI mendapati di kawasan persimpangan jalan juga kelihatan sepanduk-sepanduk dan kain rentang kempen dipasang, sekali gus bahang 'perang' kedua-dua calon mula dirasai.

Bagi pemuda berusia 24 tahun, Mohd Tarmizi AK Baktiar, kemeriahan kempen PRK Kimanis itu sebagai tanda bahawa demam pilihan raya sudah bermula.

"Kalau pasal teruja, memang teruja sebab ini memang separuh daripada bahagian (tanggungjawab rakyat). Contohnya, undi ini di tangan kita kan, jadi rakyat mesti mahu mengundi.

"Harapan untuk wakil rakyat yang menang, kami sama-sama rakyat bersedia membantu dan mereka pun (harus) membantu kami sebagai rakyat biasa," katanya kepada Astro AWANI.

Namun, bagi Diana Linda, 35 tahun, perang bendera bukanlah kayu pengukur, sebaliknya apa yang penting adalah kesungguhan calon untuk menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat.

"Bagi saya biru (Barisan Nasional) atau putih (Parti Warisan Sabah) tak kisah jadi pemimpin, yang penting pemimpin yang dipilih itu membela nasib rakyat.

"Pertama sekali masalah harga sawit dan getah kena naik semula. Ini kerana selama kerajaan bertukar (diambil alih Pakatan Harapan (PH) - Warisan), harga getah dan sawit jatuh.

"Jadi, rata-rata penduduk Sabah bergantung kepada sawit dengan getah tetapi apabila harga turun, ia terjejas sikit dari segi ekonomi dan pendapatan," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Binsulok, Ali Rahman Simat, 43 tahun, berpendapat pendekatan calon yang berkempen dari rumah ke rumah mungkin lebih berkesan berbanding kemeriahan bahan kempen.

"Saya mewakili semua penduduk di Binsulok memang mengharapkan satu perubahan yang drastik dari segi kepimpinan yang baharu.

"Kepimpinan sekarang ini bagi kami tidak memenuhi kriteria yang kami harapkan," katanya.

PRK Kimanis yang ditetapkan pada 18 Januari ini bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Parti Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang sementara BN meletakkan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, sebagai calon.