POLITIK

Kemunculan semula KJ curi tumpuan di Perhimpunan Pemuda UMNO 2025

Firdaus Azil 15/01/2026 | 01:35 MYT
Khairy Jamaluddin (tengah) antara bekas Ketua Pemuda yang hadir pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini. Turut kelihatan, Dr Muhamad Akmal (kanan) dan Hairi (kiri). - Foto Astro AWAN
KUALA LUMPUR: Kemunculan semula bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Perhimpunan Agung Sayap Pemuda UMNO 2025 mencuri tumpuan media, selepas episod pemecatannya daripada parti itu pada tahun 2023.

Menurut Setiausaha Pemuda UMNO, Mohd Hafiz Ariffin, atur cara kali ini lebih istimewa dengan jemputan khas kepada bekas-bekas Ketua Pemuda UMNO, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah memegang jawatan tersebut pada tahun 1984.

Beliau memberitahu Astro AWANI, Pemuda UMNO tahun ini meraikan bekas-bekas ketua mereka atas sumbangan yang diberikan kepada pergerakan sayap itu sepanjang tempoh memegang jawatan, selain mengangkat agenda mengukuhkan perpaduan dalam kalangan Melayu dan Bumiputera.

Turut kelihatan hadir ialah Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang disambut oleh Ketua Pemuda kini, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh bersama timbalannya, Hairi Mad Shah.

Khairy Jamaluddin sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO dari 2009 hingga 2018, sebelum dipecat pada 2023 kerana melanggar disiplin parti susulan kritikan terbukanya terhadap kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.

Bekas Menteri Kabinet itu juga tercatat dalam sejarah kerana pernah mencabar jawatan Presiden UMNO yang disandang Ahmad Zahid dalam pemilihan parti, namun hasratnya tidak kesampaian apabila perwakilan meluluskan usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan tersebut.

Biarpun Khairy Jamaluddin sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid melalui podcast Keluar Sekejap, ketegangan antara kedua-dua tokoh politik itu dilihat semakin kendur sejak kebelakangan ini, malah beberapa gambar yang tular menunjukkan kemesraan mereka kembali terjalin.

Dalam taklimat tertutup kepada perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pada Rabu, Ahmad Zahid turut membuka ruang untuk menerima semula bekas-bekas pemimpin UMNO yang pernah meninggalkan parti atas semangat perpaduan Melayu, Bumiputera dan Islam.









#bekas Ketua Pemuda UMNO #Khairy Jamaluddin #Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda UMNO