POLITIK

'Kenapa takut dengan DAP jika tidak takut dengan Gerakan, MCA?' - Johari Ghani

Astro Awani 17/01/2026 | 10:19 MYT
Johari menegaskan, apa yang harus ditakuti adalah apabila orang Melayu gagal untuk bersatu dalam menghadapi cabaran politik. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli UMNO tidak seharusnya gentar dengan DAP jika tidak pernah takut dengan Gerakan dan MCA atau parti politik bukan Melayu yang lain.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, apa yang harus ditakuti adalah apabila orang Melayu gagal untuk bersatu dalam menghadapi cabaran politik.

“Kenapa perlu kita (UMNO) takut dengan DAP? Saya rasa tidak ada sebab kita perlu takut dengan DAP kalau kita tidak takut kepada Gerakan. Kita tak pernah takut kepada MCA, kita tak pernah takut dengan mana-mana parti yang bukan Malay based. Kenapa perlu kita takut dengan DAP?

“Yang kita takut apabila Melayu tidak boleh bersatu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.

Mengambil contoh Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar, Johari berkata walaupun UMNO hanya memiliki satu kerusi Parlimen di Kuala Lumpur berbanding 10 kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan, parti itu tetap berjaya menangguh pelaksanaan RUU berkenaan pada Ogos lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menegaskan peranan UMNO dalam kerajaan adalah bagi memastikan setiap dasar yang digubal selari dengan aspirasi rakyat serta tidak menjejaskan kedudukan orang Melayu, khususnya di kawasan bandar.

“Oleh kerana kita berada dalam kerajaan, perkara-perkara sebegini kita boleh atasi,” katanya.

Dalam ucapannya, Johari turut menyambut baik cadangan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam untuk menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.

Penubuhan jawatankuasa tersebut bertujuan untuk menyambut kembali mana-mana individu atau secara en bloc ke dalam UMNO.

“Saya berharap idea Rumah bangsa ini akan menjadi kenyataan sebelum Pilihan Raya Utama (PRU) ke-16,” katanya.


#DAP #GERAKAN #Johari Abdul #Perhimpunan Agung UMNO