POLITIK

Kenyataan AGC 'perkukuh' sebab letak jawatan Menteri - Ewon

Astro Awani 11/11/2025 | 15:27 MYT
Ewon menegaskan keputusannya untuk meletak jawatan juga dibuat atas sebab prinsip. - Facebook Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menyifatkan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa, hanya 'mengukuhkan' sebab beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ewon berkata kenyataan AGC yang menyebut "tiada rayuan, namun akan merayu kecacatan dalam alasan penghakiman", sebenarnya menunjukkan wujudnya unsur rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak 40 peratus hasil Sabah.

"Selepas Mesyuarat Khas Kabinet Persekutuan hari ini, AGC menyatakan kenyataan yang berkepala "Isu 40 Peratus Hasil: Tiada Rayuan, Rundingan Dimulakan Segera". Tetapi kenyataan yang sama turut menyimpulkan "akan merayu kecacatan dalam alasan penghakiman".

"An appeal is an appeal. Tiada rayuan, tetapi akan merayu alasan penghakiman. Ia tetap adalah satu rayuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa malam.

AGC dalam kenyataan hari ini menyatakan Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah dari tahun 1974 hingga 2021 berdasarkan 40 peratus hasil.

Bagaimanapun, AGC memaklumkan pihaknya akan merayu terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut.

Ewon menegaskan keputusannya untuk meletak jawatan juga dibuat atas sebab prinsip, selain menjangka satu notis rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan berdasarkan alasan seperti yang telah dinyatakan oleh AGC.

Ahli Parlimen Penampang itu menambah, UPKO kekal dengan pendirian bahawa tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan, dan hak 40 peratus hasil Sabah adalah dua perkara berbeza.

Katanya, Senarai Persekutuan merupakan perkara dasar pentadbiran, manakala hak 40 peratus hasil merupakan hak undang-undang yang istimewa bagi Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ewon menambah sepanjang hampir tiga tahun berada dalam Kabinet Persekutuan, beliau sentiasa menyatakan pendirian dan pandangan berhubung isu 40 peratus hasil Sabah.

⁠"Jawapan balas yang saya terima adalah sama seperti yang disampaikan (Perdana Menteri) di Tamu Gaya Street.

"Sebab itu janggal untuk saya meneruskan keberadaan dalam Kabinet Persekutuan, lebih-lebih lagi selepas Penghakiman Bertulis dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid yang merekodkan pendirian dan pandangan AGC ke atas Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS)," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ewon berkata Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin menyimpulkan bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami denyut nadi, jiwa dan wawasan masa depan negeri ini, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sehubungan itu, katanya sudah tiba masanya rakyat Sabah memilih parti-parti tempatan yang berprinsip untuk menerajui Kerajaan Sabah supaya agenda 'Sabah First' dapat diperjuangkan secara berkesan.


#Ewon Benedick #UPKO #peletakan jawatan #kenyataan AGC #Jabatan Peguam Negara #hasil Sabah