KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin beranggapan bahawa sebarang keputusan dibuat Lembaga Pengampunan berhubung kes mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi implikasi besar terhadap negara.

Beliau berkata, sekiranya bekas Ahli Parlimen Pekan itu diampunkan, namun kes yang lain masih dibicarakan, ia akan merumitkan keputusan lembaga tersebut.

“Apa-apa keputusan yang dibuat atau diumumkan nanti memberi implikasi yang sangat besar kerana perlu ingat bahawa Najib ada kes yang sedang berjalan.

“Ia akan rumitkan lembaga kerana boleh ampunkan beliau untuk kes berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC), tapi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dibicarakan.

"Jadi, bagaimana keputusannya, adakah ia sekali dengan pakej pengampunan dan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA)? Saya tidak tahu,” katanya pada Khamis.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika podcast ‘Keluar Sekejap’ berdurasi satu jam 37 minit bersama mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan di platform YouTube.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu bahawa Kabinet pada Rabu ada dimaklumkan sepintas lalu mengenai pengampunan Najib.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turut memaklumkan agar menunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan.

Khairy juga menjelaskan, perkara terbabit menimbulkan persoalan yang mana pengampunan boleh diberikan, tetapi masih belum terlepas daripada kes-kes sedia ada.

“Tetapi apa-apa pun, ia hanya (perbincangan) akademik, tunggu sahaja kenyataan rasmi,” ujarnya lagi. - Sinar Harian