Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih merupakan mesej rakyat yang perlu dipertimbangkan sewajarnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama mengenai kos sara hidup, kata Naib Presiden PKR Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK itu pada Sabtu, bukan kerana rakyat menyokong parti itu dan UMNO, tetapi ia mesej jelas daripada rakyat agar kerajaan mempertimbangkan sebaik-baiknya keperluan mereka.

"Keputusan PRK Semenyih semalam adalah keputusan jelas daripada rakyat dan kita perlu menghormatinya. Saya rasa kos sara hidup adalah isu ditegaskan oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pendengaran Malaysia di sebuah pusat membeli belah di sini pada Ahad.

Dr Lee berkata PH perlu mengambil iktibar daripada kekalahan itu dengan mengatur strategi yang lebih baik serta memperkukuhkan jentera parti.

Keputusan PRK DUN Semenyih menyaksikan BN berjaya menawan semula kerusi berkenaan selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi, setelah memperoleh 19,780 undi.

Zakaria menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM)(847 undi); dan calon Bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (725 undi).

-- BERNAMA