KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meneliti kembali Enakmen Antilompat Parti 1991 yang pernah digubal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan suatu ketika dahulu sama ada ianya masih boleh diguna pakai ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (ADUN).

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ianya selepas Parlimen meluluskan Rang Undang undang, RUU Perlembagaan (pindaan) 2022 mengenai peruntukkan larangan Ahli Dewan Rakyat melompat parti baru-baru ini.

"Dari segi penggunaan, kita sekarang sedang lihat dari sudut undang-undang kerana kita sudah ada. Cuma pada waktu itu ia tak boleh dilaksanakan bila kita ada dua ADUN yang kita kira hilang kelayakan dan bawa ke mahkamah.

"Mahkamah buat keputusan enakmen yang diluluskan di Kelantan bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak terpakai. Sekarang kita akan buat kajian dari sudut undang-undang adakah kelulusan di Dewan Undangan Negeri dahulu boleh dipakai atau kena rangka RUU baharu," katanya di sini hari ini.

Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas mengenai kelulusan RUU Perlembangaan Antilompat Parti yang mendapat sokongan dua pertiga di Parlimen.

Kerajaan Kelantan menyambut baik kelulusan berkenaan dan menyifatkan ianya selaras dengan pendirian kerajaan Kelantan.

Kerajaan Kelantan pernah menggubal Enakmen Antilompat Parti pada tahun 1991 selepas berlaku kes dua ADUN Semangat 46 keluar parti.

Kes berkenaan dibawa ke mahkamah oleh ADUN berkenaan selepas mereka dilucutkan kedudukan sebagai ADUN.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu kemudiannya membuat keputusan, memihak kepada ADUN berkenaan serta menjelaskan enakmen yang digubal di DUN Kelantan tidak terpakai kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.