Kerajaan Melaka tumbang: Sokong PH, keahlian Idris Haron, Nor Azman dalam UMNO gugur - Ab Rauf

Fareez Azman
Oktober 4, 2021 11:13 MYT
Dari kanan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjawab soalan wartawan dalam sidang media di Masjid Tanah, Melaka pada Isnin. - Gambar Astro AWANI
MASJID TANAH: Keahlian UMNO Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan tergugur secara automatik selepas mereka menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) secara terbuka.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, tindakan kedua-dua wakil rakyat itu juga jelas bertentangan dengan Perlembagaan parti.
"Apabila telah dinyatakan di dalam sidang media secara terbuka, mereka bersama parti yang tidak bersama membentuk kerajaan dan meruntuhkan kerajaan, maka ianya secara automatik akan tergugur hak sebagai ahli UMNO," jelas Ab Rauf dalam sidang media yang diadakan di kediamannya di sini, pada Isnin.
Pagi cakap lain, petang cakap lain - Ab Rauf
BACA: Kerajaan Melaka tumbang: 'Tidak boleh ada dua singa di atas satu gunung' - Idris Haron
Tak setuju cakap dalam mesyuarat..bukan bawa ke luar - Ab Rauf
Bahkan, Ab Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka menyifatkan, tindakan dua ADUN UMNO itu sebagai 'duri dalam daging' yang akan ditolak oleh parti itu.
"Saya tak tahu mana duri, mana daging, (tetapi) saya nak mengatakan anggapan saya sepanjang diberikan kepercayaan kepada Ketua Menteri untuk menguruskan kerajaan negeri saya tidak memilih mereka (ADUN) duri atau daging.
"Hari ini terbukti mereka telah menjadi duri kepada daging-daging yang telah dihidangkan di hadapan mereka untuk bersama sama dalam kerajaan negeri," tegas beliau.
Sidang media itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan barisan ADUN dari UMNO dan parti komponen Barisan Nasional.
Kerajaan Melaka pada hari ini bergolak apabila empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dengan kepimpinan Suleiman.
Selain Idris dan Nor Azman, dua lagi ADUN yang berbuat demikian ialah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
#kerajaan melaka tumbang #idris haron #Ab Rauf Yusoh #Sulaiman Md Ali