IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yakin bahawa Kerajaan Perpaduan negeri itu akan kekal sehingga tamat penggal menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, beliau sendiri telah mendapatkan maklum balas daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan selepas mendengar desas-desus kononnya kerajaan negeri akan bertukar pada Julai ini.

"Saya yakin. Apabila khabar angin timbul dua tiga minggu lepas, saya periksa semua ADUN Pakatan Harapan, ada 24 orang kesemuanya, tak ada seorang pun menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka teruja untuk tinggalkan DUN masing-masing.

"Barisan Nasional ada sembilan. Daripada sembilan ini, empat orang ada jawatan - seorang MB, tiga Exco. Lima orang tak ada (jawatan). Saya periksa, siapa nak lari. Tak ada," katanya.

Saarani ditemui selepas majlis pelancaran jualan rumah teres setingkat Carnelian 2 dan Rumah Terbuka Aidilfitri MK Land di Meru Raya, di sini, hari ini.

Menurutnya, Perak juga telah meluluskan Enakmen Antilompat Parti pada Disember tahun lalu yang melarang wakil rakyat melompat parti.

Sehubungan itu, beliau yakin wakil rakyat negeri itu tidak akan berbuat demikian kerana mereka akan kehilangan pelbagai kemudahan di samping tidak dapat bertanding mempertahankan kerusi masing-masing.

Baru-baru ini, tular di media sosial, kepimpinan kerajaan negeri Perak dikatakan akan bertukar tangan menjelang Julai.