KOTA KINABALU: Pembentukan "kerajaan perpaduan" di Sabah baru-baru ini telah dapat mengelakkan pembubaran dewan undangan negeri bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan, menurut seorang penganalisis politik.

Dr Romzi Ationg, pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata bukannya satu idea yang bagus untuk melaksanakan pilihan raya awal pada masa ekonomi negara dan negeri sedang dalam fasa pemulihan.

Kerajaan perpaduan itu dibentuk bagi menyelesaikan kebuntuan politik yang muncul selepas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan UMNO kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Sri Hajiji Noor. Bagaimanapun, tidak semua pemimpin UMNO Sabah menyokong tindakan menarik balik sokongan itu.

Romzi berkata dengan kemunculan krisis politik ini, tiba masanya untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih untuk memiliki hati yang terbuka dan bekerjasama untuk kebaikan negeri.

Beliau berkata kerajaan perpaduan ini hanya akan berfungsi sekiranya semua ADUN bersikap jujur.

"Secara terus-terang, saya belum lagi melihat semua ADUN berhati terbuka. Mereka ada kepentingan peribadi mereka," katanya kepada Bernama.

Romzi berkata semua ADUN seharusnya mematuhi "gencatan senjata" politik bagi membolehkan mereka memenuhi janji-janji yang dibuat mereka kepada rakyat dalam pilihan raya negeri lepas,

Beliau juga berkata sekiranya krisis politik ini berpanjangan, maka Hajiji seharusnya memutuskan keabsahan kerajaan pimpinannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Harapan Sabah telah menyatakan ia tidak bersetuju DUN Sabah dibubarkan kerana ketidaktentuan politik di negeri ini.

Dalam satu kenyataan bersama, kesemua tujuh ADUN PH menegaskan jika krisis ini tidak ditangani dengan segera ia akan menjurus kepada keadaan DUN tergantung.

Seorang lagi penganalisis politik Tony Paridi Bagang berkata:"kestabilan politik akan kekal rapuh dan tidak menentu melainkan semua parti menerima barisan baharu kabinet negeri dengan hati yang terbuka."

Pensyarah Universiti Teknologi Mara itu berkata kompromi politik amat diperlukan dan diharapkan di Sabah yang berada di tengah-tengah krisis politik.

Pemimpin politik Sabah sepatutnya belajar daripada krisis sebelum ini kerana sebarang kebuntuan politik tidak memberi manfaat kepada rakyat mahupun negeri.

Semalam, satu kabinet baharu mengangkat sumpah yang menyaksikan ADUN Api-Api dan Ketua PKR Sabah Datuk Christina Liew dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sementara ADUN Luyang Phoong Jin Zhe daripada DAP dilantik sebagai Menteri Pembangunan Industri.

ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya daripada UMNO yang menyatakan sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri telah dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Menteri III dan diberikan portfolio Menteri Kerja Raya.

Dalam kabinet sebelum ini Shahelmey merupakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat. Portfolio ini kini disandang ADUN Sugut Datuk James Ratib daripada UMNO yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Perikanan.

Rombakan kabinet itu menyaksikan Bung Moktar digugurkan daripada jawatan timbalan ketua menteri dan menteri kerja raya.

Tony Paridi berkata pengguguran Bung Moktar memang sudah dijangka dan ada kemungkinan pesaing Hajiji akan mencabar barisan kabinet baharunya di mahkamah.

"Sebagai contoh, Parti Warisan telah mempertikaikan kedudukan Hajiji berasaskan perlembagaan negeri," katanya.

-- BERNAMA