KULIM: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang masalah dari sudut tahap sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata sokongan terhadap kerajaan berada pada tahap yang sangat meyakinkan dan ia dibuktikan apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) di peringkat dasar diluluskan di Dewan Rakyat, pada Khamis.

"Jadi kalau ada umpamanya keadaan beberapa Ahli Parlimen daripada PN yang menyatakan sokongan (kepada kerajaan), bagi kami, kami mengalu-alukan. Tapi nak mengatakan sokongan itu hasil daripada mereka diugut, kami menafikan, itu bukan kerja kita," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam yang dilaporkan berkata PN sedang mengumpul bukti berhubung dakwaan ugutan diterima Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jika sedang mengumpul bukti, PN tidak seharusnya membuat tohmahan tanpa disokong dengan bukti-bukti sahih mengenai perkara itu.

"Jadi di pihak kerajaan seperti disebut Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), seperti disebut juga oleh Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan di pihak Kementerian Dalam Negeri pasukan polis sendiri pun tidak menerima sebarang aduan berkenaan dakwaan itu.

"Jadi bola sebenarnya di gelanggang Datuk Hamzah dan PN untuk mendatangkan bukti...di pihak kerajaan kita bergerak macam biasa, tidak ada sebarang masalah dari sudut tahap sokongan yang sekarang berada pada kedudukan yang sangat meyakinkan," katanya.

Bagaimana pun, beliau mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana Ahli Parlimen PN yang berhasrat menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan menegaskan tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang telah menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri bukan disebabkan mereka diugut.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata sejumlah RM900,000 GPPK telah diluluskan kepada 90 persatuan komuniti di Kedah yang antara lain bertujuan menggerakkan persatuan, menjalankan kegiatan selain perolehan peralatan.

"GPPK ini satu program di bawah KDN dengan agensi pelaksananya adalah RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), geran sebesar RM20 juta diperuntukkan tahun ini dan amaun yang sama diperuntukkan untuk tahun depan," katanya.

-- BERNAMA