KUALA LUMPUR: UMNO terbuka sepenuhnya dan menyerahkan kepada mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 untuk menentukan hala tuju serta masa depan kerjasama parti itu dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan kepimpinan parti tidak akan menyekat mana-mana suara akar umbi, malah sedia mendengar perbahasan secara terbuka dan telus berhubung kedudukan parti menjelang fasa akhir penggal pentadbiran negara.
Menurut beliau, daripada 157 bahagian yang telah menghantar usul, perkara berkaitan kelangsungan kerjasama politik dan gagasan 'Rumah Bangsa' muncul sebagai dua topik paling dominan yang dituntut untuk dibahaskan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 9 hingga 12 September ini.
"Kita tidak akan pernah menyekat pembahas-pembahas negeri-negeri untuk membahaskan apa sahaja kalau melihat daripada sentimen-sentimen di media sosial, memang itu antara topik-topik hangat, tapi saya tidak mahu mendahului Perhimpunan Agung UMNO.
“Cuma saya nak sebutkan di sini kita terbuka kepada sebarang perbahasan daripada perwakilan … dan yang paling penting ambil manfaat daripada Perhimpunan Agung UMNO ini termasuk perhimpunan sayap-sayap wanita, pergerakan pemuda dan pergerakan puteri untuk membicarakan secara telus dan tuntas berkenaan dengan hala tuju parti untuk masa depan rakyat dan negara yang lebih baik.
"Kita tidak pernah dan tidak akan pernah menghalang pembahas-pembahas untuk menyuarakan, sebab mereka ini biasanya akan mewakili suara hati akar umbi, mereka dipilih oleh perhubungan negeri masing-masing, mereka mewakili usul-usul yang dibahaskan di peringkat negeri masing-masing," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa perhimpunan agung adalah institusi dan platform tertinggi yang mempunyai kuasa mutlak mengikut perlembagaan parti dalam menetapkan sebarang dasar utama, termasuk soal rakan gabungan.
"Platform yang terbaik untuk kita menentukan hala tuju parti sama mana nak meneruskan kerja (kerajaan) perpaduan itu dengan siapa untuk kita bekerjasama itu terserahlah kepada perwakilan.
“Yang paling penting sekali kita mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO ini adalah medan yang terbaik pertama untuk kita muhasabah melakukan introspeksi dalaman parti sama ada kita benar-benar melakukan proses transformasi parti yang diharapkan," katanya.
Menyentuh spekulasi pilihan raya, beliau mengingatkan bahawa tempoh mandat pentadbiran sedia ada kini sudah memasuki fasa kelaziman bagi amalan demokrasi berparlimen di peringkat Persekutuan.
"Kita ingat bahawa dalam sistem demokrasi pilihan raya di Malaysia ini edah pilihan raya selepas tiga tahun itu sudah sampai kepada edah-edah pilihan raya … selagi mana tak sampai ke tempoh penamat.
“Dan dalam tradisi pilihan raya di peringkat persekutuan tidak pernah kita sampai ke peringkat lima tahun baru terbubar dengan sendiri dan secara averagenya tiga tahun, lima bulan ke empat tahun itu adalah yang biasa.
"Jadi bukanlah sesuatu yang luar biasa pun kalau dikatakan kita sekarang ini sudah masuk ke fasa-fasa akhir. Maknanya bulan sebelas ini cukup empat tahun pilihan raya jangka hayat ataupun tempoh kerajaan pada hari ini, tetapi yang paling penting sekali bagi saya ialah perhimpunan agung ini biarlah kita serahkan kepada perwakilan untuk membahaskan secara terbuka," jelasnya.
PAU 2026 kali ini bakal menghimpunkan seramai 6,401 perwakilan rasmi dari seluruh negara dan dimulakan dengan acara pra-perhimpunan pada 8 September membabitkan Multaqah Ilmuan Islam Malaysia serta Konvensyen Pendidikan Melayu.