SINTOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa sumbangan dan dana Kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada kerajaan negeri tidak boleh dinafikan termasuk beberapa negeri yang ditadbir pembangkang ketika ini.

Menurut beliau, kebanyakan keputusan akhir membabitkan pembangunan yang dilaksanakan di negeri-negeri adalah dibuat dengan sokongan daripada kepimpinan kerajaan di peringkat Pusat.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tambun berkenaan menyatakan adalah lebih mudah dan senang kerajaan negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan selain kepimpinan di peringkat negeri mempunyai sikap sopan serta bijak dalam menjalinkan hubungan secara bersama.

Bagaimanapun, Anwar juga menegaskan bahawa pihaknya tidak sesekali mengetepikan peranan yang dimainkan mana-mana kerajaan negeri dalam melaksanakan pembangunan di negeri masing-masing.

"Saya tidak nafikan peranan daripada kerajaan negeri tetapi Kerajaan Persekutuan ini juga (mainkan peranan), (dikatakan) negeri Terengganu (peningkatan) paling tinggi, sebab itu saya kata pemikiran kena kritis, fakta yang betul.

"Memang Terengganu nampak meningkat, tetapi meningkat dari mana, dari threshold (nilai imbang) paling rendah kerana Terengganu di antara negeri paling miskin di Semenanjung, jadi kalau dia (Terengganu) naik dalam empat peratus, Selangor naik satu peratus, Selangor lebih tinggi, it is a threshold.

"Keduanya, kita kena faham sektor mana yang paling tinggi di Terengganu ini, sektor oil and gas, ia bawah Petronas, (dan) Petronas di bawah Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan kewajaran untuk kerajaan Negeri selari dengan kerajaan Persekutuan dalam Sesi Dialog Temu Anwar peringkat negeri Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut memberikan cadangan agar negeri Kelantan dan Terengganu dapat terlibat dengan pelaburan penjanaan tenaga angin yang boleh dieksport ke Singapura.