KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah satu ‘Kerajaan Perpaduan’, tetapi ia lebih tepat ditakrifkan sebagai ‘Kerajaan Pakatan Harapan,’ kata Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan hari ini, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, Kerajaan Perpaduan sepatutnya merangkumi semua parti politik di negara ini.

Lau, yang tidak bertanding pada PRU kali ini berkata, pendirian PN dan Gerakan adalah konsisten, iaitu untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dalam Parlimen.

“Pendirian bagi PN seperti dikatakan kepada Pengerusi PN, kita akan menjadi pembangkang di arena politik negara kita. Dan memang saya katakan bagi definisi kerajaan perpaduan itu adalah kerajaan yang merangkumi semua parti politik.

“Pada hari ini dengan jelas kita nampak ini Kerajaan Pakatan Harapan, bukan Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, kita mainkan peranan pembangkang seperti dikatakan Muhyiddin, iaitu Pengerusi PN,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dominic berkata, culaan (pengiraan awal) menunjukkan hampir 34 peratus undi rakyat memihak kepada PN dan Gerakan kali ini.

“Dan sokongan yang meningkat itu kita rujuk kepada keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, memang jika berbanding Pilihan Raya Umum, itu, sokongan itu jelas tidak menampakkan sokongan itu.

“Saya pun jelaskan semasa PRN Melaka dan Johor, kita memang menggunakan slogan bersih dan stabil, tetapi pada masa itu sokongan rakyat kepada PN tak tinggi.

“Tetapi kita tahu slogan ini, ideologi bagi PN iaitu Prihatin, Bersih, dan Stabil ini adalah ideologi terbaik sekali untuk rakyat, pilihan terbaik sekali untuk rakyat,” katanya lagi.

Dominic berkata, PN akan terus berpegang kepada visi dan slogan itu dalam usaha mengukuhkan jentera bagi menghadapi enam lagi Pilihan Raya Negeri pada tahun hadapan, iaitu untuk Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.