KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mengelak daripada terus mengundang kemarahan rakyat meskipun telah genap setahun mentadbir negara.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid berpendapat, kerajaan PN perlu belajar daripada apa yang berlaku sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini.

"Kerajaan PN sewajarnya belajar daripada apa yang berlaku sewaktu pentadbiran Kerajaan PH yang hanya dalam tempoh 22 bulan sahaja mentadbir telah mengundang kemarahan dan kebencian yang menebal di kalangan rakyat.

"Ini kerana kegagalan Kerajaan PH memenuhi aspirasi rakyat terutamanya menjamin kebajikan mereka dan kesejahteraan negara," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Tambah Mustafa, setelah setahun Kerajaan PN mentadbir negara, sekali lagi aspirasi rakyat Malaysia gagal dipenuhi terutamanya berkaitan dengan pengurusan krisis pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi.

"Keputusan Kerajaan yang kerap kali berubah berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja mengakibatkan kekeliruan di kalangan rakyat malah ‘frontliners’ juga turut terkesan.

"Begitu juga dengan layanan dwi-standard yang membezakan anggota pentadbiran Kerajaan PN yang seolah-olah kebal dan terkecuali daripada mengikut SOP juga turut mengundang kemarahan rakyat," katanya lagi.

Tegas Exco Pemuda UMNO Malaysia itu lagi, insiden terkini melibatkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Santhara Kumar juga mengundang kemarahan rakyat.

"Insiden terkini yang melibatkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Seri Santhara Kumar juga turut melonjakkan api kemarahan rakyat apabila beliau dibenarkan bercuti selama 55 hari untuk keluar negara menziarahi ahli keluarganya.

"Rakyat pula yang hanya ingin merentas daerah bagi menziarahi ibu bapa pula dikenakan sekatan malah ada juga yang telah didenda.

"Saya memohon kepada kepimpinan Kerajaan PN terutamanya YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan pematuhan SOP ini turut terpakai kepada semua pihak melainkan terdapat kes kecemasan ataupun urusan yang mendesak," jelasnya lagi.

Sebaliknya, katanya pemimpin kerajaan perlu menjadi 'role model' yang boleh dicontohi rakyat dan bukannya menjadi penyebab kepada kemarahan rakyat,